Haram pakai jersi ditaja syarikat judi, ini sebabnya ramai nak tahu

Oleh KIM SYAZIE

Jersi merupakan pakaian rasmi bagi sesebuah pasukan sama ada dalam atau di luar negara untuk menonjolkan identiti mereka ketika bersaing dalam kejohanan-kejohanan di pentas sukan antaranya bola sepak.

Bagi penyokong pula, salah satu cara untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran adalah dengan menonton perlawanan secara langsung sambil memakai jersi rasmi kelab bola sepak.

Pada Ogos lalu, classicfootballshirts menerusi satu hantaran di Instagram memuat naik maklumat bahawa 12 daripada 20 pasukan bola sepak yang bertanding untuk EPL atau 55% daripadanya telah ditaja oleh syarikat judi.

Daripada jumlah itu, 11 daripadanya telah mempamerkan nama syarikat judi yang menaja mereka dalam tulisan yang terletak di bahagian tengah hadapan baju jersi mereka.

Perkara tersebut mendapat perhatian seorang pendakwah bebas dikenali sebagai Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Dr Zaharuddin menjelaskan mengenai hukum memakai jersi-jersi berkenaan.

Katanya, adalah haram untuk memakai dan menggayakan jersi jika terpapae logo syarikat judi, bank riba dan seumpamanya.

”Lihat betapa untungnya syarikat judi dengan industri bola sepak EPL hingga berebut-rebut menjadi penaja besar kelab-kelab di sana.

”Justeru kepada para peminat premier league, jika pada baju jersey pasukan itu terpapar logo syarikat judi, bank riba dan lain-lain yang haram di sisi hukum Islam, maka memakai dan mengayakan baju tersebut di khalayak juga turut jatuh dalam dianggap membantu dan subahat dalam perkara dosa dan yang haram sebagaimana telah ditegah Allah SWT dalam al-Quran dan juga disebut lagi dalam hadith tegahan bersubahat dengan yang haram,” jelas beliau.

Baca juga: Baru tahu beras ada kegunaan lain termasuk buat baja, jangan buang kalau rosak!