Haramkan atlet Israel keputusan tepat kerajaan, kata Raja Bahrain

Haramkan atlet Israel keputusan tepat kerajaan, kata Raja Bahrain

Keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia untuk Kejohanan Renanag Antarabangsa ke negara ini amatlah tepat, kata Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH itu berkata, keputusan konsisten dibuat kerajaan itu bagi memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin yang di zalimi oleh Israel berbanding kerajaan BN terdahulu.

“Ini jauh berbeza dengan sikap lemah kerajaan Malaysia dibawah Datuk Seri Mohd Najib Razak (bekas perdana menteri) yang membenarkan beberapa Pegawai kanan Kerajaan Israel menghadiri konvensyen di Malaysia pada tahun lepas.

“Ada mereka yang menyatakan sukan tidak sepatutnya di campur aduk dengan politik.

“Saya ingin menyatakan di sini di antara tujuan utama aktiviti sukan adalah untuk memupuk semangat persahabatan dan persaudaraan sesama rakyat berbagai Negara dan bangsa.

“Jelas negara Israel tidak mengamalkan sikap serta amalan ini apabila rakyat Palestin yang merupakan penduduk asal bumi Palestin-Israel di zalimi, di tangkap, di halau dan juga di bunuh di bumi mereka sendiri.

“Jika tiada sikap menghormati, menyantuni dan meraikan sesama rakyat tempatan negara sendiri, di manakah akan letaknya semangat dan roh persahabatan serta persaudaraan di antara atlet di peringkat antarabangsa pula dari negara negara lain ?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pendirian kerajaan semalam, yang tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Menurut Raja Kamarul Bahrin lagi, Negara yang mengamalkan dasar apartheid tidak memenuhi kriteria untuk memupuk semangat kesukanan dan persaudaraan antarabangsa.

“Hujah untuk memupuk semangat persaudaraan melalui sukan diantara para atlet adalah terbatal -“disqualified” dengan tersendirinya melalui amalan apartheid perkauman serta diskriminasi kerajaan Israel yang berterusan.

“Hak asasi manusia dan nyawa rakyat Palestin lagi penting dari penyertaan Israel yang hanya ingin mengunakan platform sukan sebagai topeng kezaliman mereka keatas rakyat sendiri.

“Kita telah nampak kesan bantahan kita atas keputusan Australia untuk mengiktirafkan Baitul Maqadis sebagai ibu negara Israel. Selepas bantahan kita sekurang kurangnya Australia telah menangguhkan perpindahan kedutaan mereka ke Baitul Maqadis sehingga satu penyelesaian isu bumi dan keamanan Palestin di capai. Ini adalah hasil pencapaian bantahan kita secara berterusan.

“Daripada dahulu Tun Mahathir telah mengambil pendirian tegas serta konsisten keatas dasar apartheid zalim Israel.

“Kerana itu Malaysia dahulu di hormati dan di segani oleh Dunia Islam dan juga barat.

“InsyaAllah kita sedang membina semula Malaysia Baru untuk kembali kepada era kegemilangan dimana kita pernah dihormati dan di segani dahulu di arena antarabangsa,” ujarnya.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selaku penganjur kejohanan berkenaan turut dilaporkan berdepan dilema ekoran larangan terhadap atlet Israel daripada menyertai pertandingan itu.

Semalam Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata Malaysia tidak akan membenarkan atlet renang paralimpik Israel memasuki negara ini bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak, Julai ini.

Beliau berkata ini disebabkan Malaysia mempunyai dasar luar negara yang amat jelas terhadap IsraeL

tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Kejohanan itu dilihat sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.