Malaysia Dateline

Haramkan minum arak, negeri lain wajar contohi Selangor

Tindakan kerajaan Negeri Selangor yang melaksanakan pengharaman aktiviti merokok dan minum minuman keras di kawasan awam adalah keputusan yang wajar dan tepat pada masanya.

Adun Meru Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pengharaman aktiviti itu yang disenaraikan sebagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Lebih-lebih lagi katanya, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman-taman permainan serta taman-taman rekreasi.

“Pengumuman ini memperlihatkan kerajaan Selangor terkehadapan dalam menangani masalah sosial terutama membabitkan kesihatan awam.

“Ia sebagai tanda kerajaan ini prihatin, mesra rakyat, dan serius memastikan kelestarian hidup rakyat Selangor.

“Saya sendiri pernah membangkitkan isu ini ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2019, dan hasilnya tindakan telah diambil pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pengumuman Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han membuktikan kerajaan Selangor tidak bertoleransi dengan kemungkaran yang mengundang mudarat kepada masyarakat.

Katanya, ia sekaligus menolak tohmahan yang menuduh negeri-negeri kerajaan Pakatan Harapan tidak bersedia dengan pengharaman arak.

“Apa yang diharapkan, negeri-negeri lain mengikut jejak kerajaan Selangor.

“Langkah ini sebagai pendidikan berpanjangan kepada masyarakat dan mesej kepada para perokok dan peminum arak, bahawa tiada manfaat daripada minuman alkohol itu serta rokok terhadap diri mereka, keluarga dan masyarakat,” katanya.