Tanggal 29 Mei depan merupakan tarikh genapnya 50 tahun usia pemergian seniman negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Bukan itu sahaja, tarikh tersebut juga adalah tarikh tamat tempoh bagi royaltinya sepertimana yang telah tertulis di dalam kontrak perjanjian yang diurus Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
Menyedari bayaran royalti arwah bapanya akan dibayar buat kali terakhir pada Ogos tahun ini, Sazali P. Ramlee berharap agar rayuan tambahan tempoh kontrak yang dibuatnya itu mencapai kata putus yang menggembirakannya.
Harapnya kerajaan dapat memaklumkan keputusan dicapai berhubung tambahan tempoh kontrak pembayaran royalti yang dimohon atas karya seni arwah bapa saya sebelum Ogos depan.
Bayaran royalti daripada MACP itu saya dapat sekali dalam setahun dan pada Ogos depan adalah kali terakhir ia (bayaran) akan diterima.
Sekiranya kerajaan masih belum ada keputusan untuk melanjutkan kontrak tambahan tempoh royalti dimohon, maka tamatlah semuanya.
Memetik laporan Harian Metro, Sazali, 64, turut mendedahkan dia begitu memerlukan bantuan daripada bayaran royalti itu untuk membantu meringankan bebannya dan isteri yang mempunyai masalah kesihatan disamping faktor usia mereka yang semakin meningkat.
Mulai tahun 2024 nanti, saya tidak lagi mendapat bayaran royalti dan ia membebankan kehidupan saya dan isteri, Hamidah Hitam yang mempunyai masalah kesihatan. Selama ini, dengan wang royalti diterima yang membantu kami berdua menguruskan kehidupan.
Ini kerana, bayaran royalti itu menjadi kegunaan saya dan isteri, mendapatkan rawatan doktor pakar dan pemeriksaan kesihatan berkala di hospital di Cheras, selain untuk kos sara hidup kami. Maklumlah, kami berdua sudah tua dan masing-masing tidak sihat pula.
Jadi, kalau wang royalti sudah tidak dapat lagi, memang menjejaskan kami kerana pergantungan punca rezeki sudah tiada. Saya pun tak boleh bekerja lagi selepas mengalami kemalangan pada 2015 lalu.
Tambah Sazali lagi, bayaran royalti berjumlah RM17,000 yang diterimanya pada tahun lalu dia merupakan jumlah yang jauh berkurangan daripada apa yang pernah diperolehnya sebelum Covid-19.
Untuk info, usia pemergian P Ramlee bakal genap 50 tahun pada tahun ini selepas seniman filem negara itu meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat sakit jantung.
Sepanjang tempoh itu, royalti daripada karya lagu P Ramlee telah diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehinggalah Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.
Royalti tersebut kemudiannya diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee sebelum kontrak royalti yang diuruskan MACP itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali selepas Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008.
Baca juga: Tak perlu vakum! Bibik ajar cara unik bersih karpet guna mop, dah macam dapat karpet baru