Malaysia Dateline

‘Harap Menteri Besar Kedah baca teori al-Raisuni dalam berkerajaan’

Kerajaan tidak perlu kaya kerana tugas kerajaan bukan mengumpul wang. Cukuplah kerajaan mempunyai wang yang mencukupi untuk mengurus, menyelia dan menyelaras aktiviti dan perjalanan negara.

Rakyat yang perlu kaya. Apabila rakyat kaya, maka tiada pergantungan rakyat kepada kerajaan. Keperluan kehidupan rakyat dalam semua bidang ditanggung oleh rakyat sendiri.

Maka, pemimpin perlu cari jalan memperkayakan rakyat. Pemimpin tidak perlu risau jika kerajaan tidak banyak wang, tapi perlu risau tentang rakyat yang tiada wang.

Al-Raisuni mengumpamakan kerajaan dan rakyat seperti segitiga normal. Puncaknya kecil mewakili kerajaan sementara tapaknya besar mewakili rakyat. Kerajaan kecil tetapi berada di atas (menyelia dan menyelaras) tetapi rakyat besar dan berada di bawah (mendukung kerajaan).

Kehidupan bernegara akan rosak jika segitiga diterbalikkan menjadikan bahagian yang besar (kerajaan) berada di atas sementara bahagian kecil (rakyat) berada di bawah. Dalam kedudukan ini kerajaan menindas rakyat.

Menteri Besar Kedah tidak perlu risau jika Sungai Muda mengalir ke Pulau Pinang dan airnya dinikmati oleh rakyat negeri itu. Apabila rakyat Pulau Pinang senang, rakyat Kedah juga akan turut senang.

Biarlah rakyat senang, rakyat negeri mana sekalipun. Menteri Besar Kedah jangan hanya fikir untuk kerajaan negerinya saja.

Menteri Besar Kedah patut belajar dari kerajaan Pulau Pinang untuk mengoptimumkan penggunaan air Sungai Muda seperti yang Pulau Pinang buat. Bukannya minta duit daripada hasil usaha kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Kedah jangan terbalikkan segitiga untuk senangkan dan besarkan kerajaan tetapi rakyat menjadi susah dan kecil. Kerana air Sungai Muda itu manfaatnya untuk rakyat. Kerajaan hanya menyelia dan mengurus.

Harap Menteri Besar Kedah dapat baca teori al-Raisuni dalam berkerajaan, khususnya apabila menjadi ketua kerajaan.

 

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional dan mantan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).