Malaysia Dateline

‘Harap Najib, Rosmah diadili bukan diaibkan’

Timbalan Ketua Biro Dakwah AMANAH Nasional, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kurang bersetuju dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung sembilan set rakaman percakapan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu berpendapat klip audio perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd itu wajar diserah kepada pihak mahkamah terlebih dahulu.

“Saya kurang bersetuju cara SPRM buat pendedahan rakaman cara terbuka. Sepatutnya didedahkan di mahkamah untuk diadili.

“Walaupun saya harap Najib dan Rosmah diadili segera namun mengaibkan bukanlah caranya,” luahnya di Facebook beliau hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengadakan sidang media khas di Putrajaya memperdengarkan klip audio antaranya, perbualan telefon antara Najib dan isteri Rosmah Mansur.

Turut diperdengar, rakaman percakapan didakwa membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal 1MDB kepada Najib pada 2016.

Latheefa berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

Menurut bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, perbincangan antara individu dalam rakaman tersebut menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti dan ancaman keselamatan negara.