Malaysia Dateline

Harapan Ahmad Lutfi kepada kepimpinan baru Pemuda AMANAH Nasional

Penganalisis politik, Ahmad Lutfi Othman berharap kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional di bawah teraju baharu, Shazni Munir Mohd Ithnin meluaskan pengaruh sayap parti tersebut dalam kalangan setiap lapisan rakyat.

Menurutnya, Pemuda AMANAH Nasional perlu mengukuhkan persefahaman sesama parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan mendekati gelodak rasa anak muda dengan menghayati imaginasi mereka.

“Era penuh cabaran, pancaroba dan gugatan, tetapi sekali gus juga zaman yang begitu kritikal dan menentukan masa depan.

“Suntik keyakinan untuk tetap berpegang dengan prinsip kebenaran, mesra pertubuhan belia dan masyarakat sivil berkepentingan orang muda, proaktif program perkaderan termasuk kelompok pelajar-mahasiswa,” katanya sambil megucapkan tahniah kepada Shazni dan kepimpinan Pemuda.

Semalam, Shazni dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang baharu dalam satu mesyuarat khas pemilihan selepas hampir empat bulan jawatan itu kosong ekoran pemecatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Mengulas lanjut, bekas kolumnis akhbar Mingguan Amanah itu berkata, parti Islam AMANAH itu juga wajar dikembangkan dalam setiap sektor masyarakat.

“Gilap potensinya sebagai parti masa depan, lahirkan pimpinan berwibawa, berintegriti, berakhlak bagi menongkah gelora zaman,” tambah Ahmad Lutfi yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah.