Malaysia Dateline

Harapan baharu 2021 pulih ekonomi, demokrasi

Tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya yang diharungi dengan penuh cabaran, boleh diibaratkan tahun mendung dalam sejarah negara.

Pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang telah memberikan kesan yang besar kepada kehidupan rakyat dan negara.

Kadar pengangguran telah melonjak ke tahap 5.0%, KDNK negara terus menguncup pada suku kedua dan ketiga 2020 iaitu penurunan sebanyak 17.1% dan 2.7%.

Ini telah memberikan kesan yang besar kepada negara apabila kita masih lagi bergelut untuk memulihkan ekonomi negara.

Menelusuri tahun 2020 yang tercalar dengan kebobrokan sistem demokrasi oleh ‘Langkah Sheraton’ yang telah menumbangkan kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat pada Mei 2018.

‘Langkah Sheraton’ ini bukan hanya menumbangkan kerajaan di peringkat persekutuan bahkan beberapa kerajaan di peringkat negeri.

Akhirnya, mereka yang tewas di dalam PRU-14 akibat rasuah dan salah guna kuasa kembali menjadi pemerintah hasil akibat pengkhianatan ini. Rakyat kini berhadapan dengan kleptokrasi 2.0.

‘Langkah Sheraton’ ini memberikan kesan yang besar kepada pendemokrasian negara yang mula dipulihkan oleh kerajaan PH sebelum ini. Beberapa langkah reformasi demokrasi berjaya dilakukan oleh kerajaan PH.

Langkah Sheraton memusnahkan pendemokrasian negara yang mula dipulihkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

Antaranya ialah semua Menteri dan Timbalan Menteri perlu membuat pengisytiharan harta, Ketua PAC dilantik daripada kalangan pembangkang, mewujudkan lebih banyak jawatankuasa Parlimen yang dianggotai oleh kerajaan dan pembangkang, dan kebebasan kepada media.

Reformasi yang dilaksanakan ini berjaya membuahkan hasil melalui beberapa indeks yang dikeluarkan antaranya oleh Freedom House iaitu sebuah badan bebas antara yang paling terkemuka di dunia.

Pada 2017, Indeks Kebebasan Malaysia berada pada tahap 44/100 manakala Indeks Hak Politik berada pada tahap 18/40 dan Indeks Kebebasan Sivil pula berada pada tahap 26/60.

Namun, pada 2018 iaitu selepas PH mengambil alih kerajaan, Indeks Kebebasan Malaysia mula meningkat kepada 45/100 manakala Indeks Kebebasan Sivil turut meningkat kepada 27/60.

Hanya Indeks Hak Politik masih kekal pada tahap 18/40. Pada 2019, Indeks Kebebasan Malaysia melonjak naik kepada 52/100 manakala Indeks Hak Politik pula meningkat kepada 21/40 dan Indeks Kebebasan Sivil melonjak kepada 31/60.

Kesemua indeks ini menunjukkan wujudnya pembaharuan yang positif dalam aspek demokrasi negara yang dilaksanakan oleh kerajaan PH. Walau bagaimanapun, negara kini kembali ke era pemerintahan lapuk apabila munculnya rejim yang tidak menghormati institusi demokrasi dan berparlimen di Malaysia.

Antaranya kita dapat melihat bagaimana kerajaan PN ingin mengumumkan darurat yang bakal menyaksikan Parlimen digantung dan kerajaan mempunyai kuasa yang lebih besar dalam pentadbiran. Namun, kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menafikan kerakusan ini.

Tekad politik kerajaan PH untuk memulihkan ekonomi negara dimanifestasikan melalui banyak polisi dan dasar baharu yang diperkenalkan termasuk dasar anti-rasuah yang meletakkan indeks persepsi rasuah negara menurun ke tangga 51 dari 61 yang menjadi faktor keyakinan pelaburan asing.

Pengurangan hutang negara, pemulihan institusi dana awam seperti Tabung Haji dan penjimatan kos projek mega antara langkah positif pengukuhan ekonomi negara.

Penetapan harga siling petrol dengan pengembalian subsidi di samping penghapusan beberapa tol lebuhraya dan pembatalan GST antara polisi besar mengangkat kebajikan rakyat.

Ekonomi negara di bawah pentadbiran PH juga meningkat lebih 4 peratus satu natijah penting komitmen PH.

Muka baharu

Memasuki tahun 2021, menjadi harapan rakyat terutama generasi muda supaya ekonomi negara dapat dipulihkan dan berkembang dan demokrasi negara kembali dipulihkan.

Pemulihan ekonomi dan demokrasi ini hanya berjaya sekiranya kerajaan yang bersih dan cekap diangkat. Ternyata kerajaan pintu belakang PN gagal menangani pelbagai masalah rakyat dan ekonomi negara.

Sentimen kerajaan Melayu Islam gagal mempertahan kesucian Islam dengan isu kekerapan cabutan khas judi dan skandal daging import halal.

Walaupun pakar-pakar ekonomi termasuk Bank Dunia menjangkakan ekonomi negara melonjak tahun hadapan, banyak sektor akan terus berada bawah paras kapasiti sebelum wabak Covid-19.

Menangani dampak pandemik Covid-19 ini, satu lagi pakej rangsangan ekonomi yang bersasar bertujuan untuk mempercepatkan atau “accelerate” pemulihan ekonomi perlu diumumkan. Banyak sektor perniagaan terutama PKS masih lagi belum mampu untuk berdaya saing dan mengembangkan tenaga kerja.

Kerajaan juga digesa memperkenalkan dua jenis insentif cukai iaitu potongan cukai perniagaan secara one-off kepada perniagaan kecil sederhana (PKS) & pelepasan cukai bagi syarikat-syarikat yang memberikan kenaikan gaji pekerja melebihi peratusan tertentu pada tahun 2021.

Insentif-insentif ini mempunyai dua matlamat iaitu membantu memulihkan untung bersih sektor perniagaan dan pada masa yang sama, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengukuhkan perbelanjaan swasta yang mempunyai “multiplier effect” yang tinggi untuk pertumbuhan ekonomi.

Generasi muda berharap ekonomi negara dapat dipulihkan dan berkembang sepanjang tahun 2021.

Selain itu, peruntukan perbelanjaan pembangunan bawah Belanjawan 2021 disegerakan dalam enam bulan pertama tahun hadapan supaya impak positif perbelanjaan ini cepat sampai ke tangan rakyat dan menyegerakan pertumbuhan ekonomi.

Bagi merangsang ekonomi rakyat, kerajaan boleh memperkenalkan “karnival jualan maya” yang membolehkan mana-mana rakyat Malaysia jual beli atas talian pelbagai jenis produk termasuk kuih-muih, tanpa sebarang komisen kepada pihak kerajaan selaku penganjur.

Usaha ini diharapkan dapat merancakkan sosio-ekonomi rakyat di peringkat mikro.

Harapan baharu 2021 sudah pasti mengembeleng seluruh kekuatan pembangkang supaya usaha mengembalikan mandat rakyat tercapai.

Membiarkan kerajaan pintu belakang PN berkuasa adalah satu tindakan tidak bermaruah jika ia dibantutkan dengan agenda peribadi dan kepentingan parti politik.

Pemulihan demokrasi menuntut kekuatan pembangkang yang kolektif dan dibarisi tokoh dan muka baharu (new faces) yang boleh membentuk satu kekuatan baru (united front) yang bersatu padu atas matlamat yang satu ‘menyelamatkan Malaysia’.

Sudah sampai masanya, politik negara ini diserahkan kepada pemain politik yang lebih muda dan tiada bebanan, yang pesat dengan idea-idea segar dan ikhlas untuk mengangkat martabat negara dan bukannya agenda peribadi.