Malaysia Dateline

Harapan baru bagi Palestin: Pandangan dunia sedang berubah

Dalam tulisan yang lepas, saya telah menghuraikan betapa isu Palestin yang dijajah dan ditakluki Israel selama ini sentiasa dipersembahkan oleh media Barat khususnya dan media lain amnya daripada perspektif Zionis Israel di mana regim itu yang digambarkan sebagai mangsa, bukannya Palestin yang didudukinya.

Dan naratif ini telah dibina sekian lama bagi pembacaan masyarakat antarabangsa khususnya orang awam di dunia Barat yang bergantung kepada saluran-saluran media yang dikuasai oleh pendokong-pendokong Zionis.
Daripada naratif tersebut setelah negara Zionis ditubuhkan dengan mengusir rakyat asal Palestin,“Israel” terus dipertahankan sebagai entiti yang sah oleh kuasa-kuasa Barat dengan diberikan sokongan bukan sahaja dari segi ketenteraan malah juga kewangan yang disalurkan di samping sokongan politiik yang tidak bersyarat di pentas-pentas pertubuhan dunia seperti PBB. Negara yang paling terkehadapan dalam membantu serta mendokong Zionis Israel ialah Amerika.

Hasil daripada sokongan ini – baik dalam bentuk wang dan peralatan tentera, juga pendirian politik kuasa besar Amerika itu yang sentiasa membela Israel ketika usul dikemukakan di PBB, di samping penyebaran naratif Zionis tentang Israel – Zionis Israel menjadi semakin ganas dan rakus tahun demi tahun dan lebih agresif dalam mengejar cita-citanya hendak membentuk Israel Raya yang diidamkan.

Respon masyarakat dunia kepada kerakusan dan kezaliman Israel satu masa dahulu agak terhad kepada kelompok tertentu, terutama daripada dunia Islam dan Arab, kumpulan-kumpulan aliran kiri dan beberapa badan hak asasi yang sekadar membuat kenyataan bantahan. Setiap kali Israel menyerang wilayah Palestin, iaitu Gaza, rakyat di negara-negara Islam dan Arab akan keluar ke jalan raya membuat bantahan secara besar-besaran. Bantahan yang lebih kecil barangkali juga dibuat di beberapa ibu negeri negara-negara Barat tetapi terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Semua bantahan ini langsung tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak, termasuk badan dunia seperti PBB, mahupun negara-negara yang menganggotainya. Sikap tidak peduli ini lebih kerana Zionis Israel dan sekutu-sekutunya berjaya menguasai naratif tentang Palestin-Israel yang menjadikan isu Palestin-Israel sebagai suatu “konflik” semata-mata dan meletakkan punca masalah kepada “serangan roket yang mengancam nyawa rakyat Israel”. Dengan itu isu itu lebih dilihat sebagai “konflik biasa” yang memerlukan perbincangan bagi meleraikan “pihak-pihak yang bertentangan itu”.

Israel khususnya sudah lama membina rangkaian penyokong dan pendukung dalam kalangan masyarakat di Barat, tidak termasuk penguasaannya terhadap media tradisional yang memang sangat berpengaruh. Selain media tradisional, mereka juga cuba menguasai media baru ditambah pengaruh menerusi tulisan-tulisan yang dipaparkan sebagai “kertas polisi”, “pandangan akademik” dan sebagainya. Buku yang mereka hasilkan begitu banyak sekali memaparkan sudut pandangan mereka tentang kewujudan regim Israel. Apatah lagi media perfileman yang mereka kuasai menerusi Hollywood.

Boleh dikatakan individu di Barat dihujani propaganda pro-Israel, anti-Palestin yang berterusan setiap masa. Sekadar contoh, propaganda bahawa Hamaslah menjadi punca kepada “krisis” di sana dan seruan agar rakyat Palestin menolaknya supaya “perdamaian” dapat dicapai. Satu pembohongan yang jelas kerana Hamas ialah kerajaan yang dipilih menerusi pilihanraya paling bebas pada 2006 dan merupakan wakil kepada rakyat Palestin.

Rakyat hanya melihat Hamas sebagai wakil berwibawa mempertahan dan memperjuangkan masa depan Palestin yang bebas dan merdeka setelah hilangnya pengaruh dan kekuatan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dijenamakan semula sebagai Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority) susulan Perjanian Oslo pada tahun 1993. Sebaliknya sesiapa yang membawa kritikan terhadap regim Zionis itu dicop sebagai bersikap “anti-semitik” (anti-Yahudi).

Bagaimanapun konflik pada bulan Mei yang lepas antara Palestin dan Israel telah membuka mata sebahagian daripada masyarakat antarabangsa. Malah proses membetulkan sejarah dan perspektif mengenai konflik ini sudah pun bermula sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tanpa diduga, pertubuhan hak asasi terkenal, Human Rights Watch (HRW) telah mengeluarkan satu laporan komprehensif tentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan Zionis yang menduduki Palestin, bahkan turut menamakan regim itu sebagai regim aparteid – yang sudah pun dimasyhurkan sebelum ini oleh mendiang Nelson Mandela. Bagi sebuah pertubuhan yang disegani seperti HRW melebelkan regim Israel sebagai negara aparteid merupakan satu tanda atau titik peralihan dalam sokongan kepada regim yang sedang menduduki Palestin itu.

Selain itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga para ahli akademik Barat mula bersuara menyatakan bantahan terhadap tindakan-tindakan Israel, sehingga memboikot ahli akademik Israel dan universiti-universiti negara Zionis itu. Kumpulan-kumpulan lain seperti ahli seni, artis dan sebagainya juga sudah menyatakan kritikan terhadap regim tersebut.

Salah satu gerakan di Barat yang telah muncul hasil daripada ini semua ialah gerakan boikot, menarik pelaburan, dan mengenakan tindakan (Boycott, Divest and Sanctions) atau BDS terhadap regim Zionis. Gerakan ini semakin hari semakin popular di Barat sehingga pelobi Zionis menjadikannya sebagai sasaran utama untuk dihapuskan walaupun tidak berhasil.

Konflik pada Mei lepas juga telah menyaksikan peranan media baru dalam menyampaikan maklumat sahih kepada audien Barat. Hasilnya semakin ramai kalangan orang awam Barat tidak lagi mempercayai naratif Israel bahawa Israel menjadi “mangsa” serangan Hamas. Dalam episod pertentangan kali ini, Zionis gagal meyakinkan masyarakat Barat bahawa Hamas sekali lagi menjadi punca kepada konflik terbaru itu. Mereka telah mendengar tentang Sheikh Jarrah dan melihat sendiri serangan polis Israel dalam Masjidil Aqsa pada penghujung Ramadhan lepas. Media baru telah membantu membawa naratif tepat kepada audien di luar sana.

Walaupun perubahan sedang mula kelihatan, masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa perubahan menyeluruh atau penyelesaian kepada isu Palestin akan tercapai dalam masa terdekat. Regim Zionis baru menggantikan seorang pemimpin ekstrim dengan seorang lagi yang lebih ekstrim. Apa yang memberi sedikit kelegaaan ialah perjuangan rakyat Palestin untuk mengembalikan tanah air dan hak mereka semakin diberi perhatian oleh masyarakat dunia. Negara-negara Barat tidak boleh mengabaikan peralihan pendapat umum mengenai Palestin dalam merangka tindakan dan sikap mereka mengenai “konflik” itu lagi.

Mereka perlu seiring dengan pendapat awam dalam kalangan rakyat mereka pada masa akan datang.