Malaysia Dateline

Harapan Coin: Khalid ambil saranan Jack Ma

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mempertahankan usaha beliau memperkenalkan projek mata wang kripto, Harapan Coin.

“Pengasas Alibaba Group, Jack Ma pun kata ini teknologi masa depan, lalu apa yang hairannya?”

“Bila kita mentadbirnya dan menggunakannya dengan baik akan ada nilai. Orang semua akan beli dan harga dia akan naik bila kita gunakan Harapan Coin dalam urusan dengan kerajaan dan sebagainya,” Khalid dipetik sebagai berkata oleh FMT malam tadi.

Laman web Harapan Coin didaftarkan pada Disember tahun lepas.

Seperti laman web tawaran mata wang kripto permulaan (ICO) yang lain, ia memaparkan kertas putih bagi menjelaskan objektifnya, yang ketika itu untuk mengutip dana Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu rakaman video, Khalid menyebut kutipan itu akan dibahagikan antara pembangun skim (30 peratus), Amanah (30 peratus) dan Pakatan Harapan (40 peratus).

Isu itu muncul semula selepas Khalid berkata beliau akan menghantar cadangan penggunaan mata wang digital itu kepada Bank Negara Malaysia tidak lama lagi.

Terdahulu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak Khalid mendedahkan dalang sebalik projek Harapan Coin itu.

Najib berkata beliau meragui agenda memperkenalkan matawang digital itu untuk transaksi kerajaan seperti pembayaran lesen dan saman.
Sementara itu, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar juga mempersoalkan idea berkenaan di laman Twitternya.

Seorang peniaga crypto turut mempersoalkan mengapa nilai tidak diberikan kepada ICO Harapan Coin.

Terdapat banyak laporan berkaitan ICO yang gagal dalam beberapa bulan pertama – menyebabkan hanya segelintir pihak mendapat untung dan selebihnya rugi.

Kerajaan China telah mengharamkan segala bentuk ICO sejak 2017.