Malaysia Dateline

Mengejutkan: Harapkan kerajaan jaga Hutan Simpan Kekal, anak syarikat kerajaan sendiri terokainya di Kelantan

Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah yang berlaku kepada hutan simpan kekal di Kelantan apabila sebuah kawasan Hutan Simpan Dara (Virgin Jungle Reserve – VJR) di Nenggiri, Gua Musang yang sepatutnya dijaga telah diteroka sendiri oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Datuk Husam Musa mendedahkan perkara ini dalam siaran di Facebook beliau malam ini dengan menyiarkan video berkaitan timbunan kayu balak yang diambil dari Hutan Simpan Dara yang sepatutkan dijaga telah diteroka oleh syarikat bernama Daulah Najah Sdn Bhd, anak syarikat PMBK sendiri.

Dua dari ahli lembaga pengarah syarikat ini adalah anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Datuk Hanipa Ahmad dan Azami Mohd Nor.

Menurut Husam dalam postingnya bertajuk, “Enta Gomo Balak Perlindungan?” itu mendedahkan bagaimana kayu balak bertimbun-timbun di metau atau kem Daulah Najah yang terletak di Kompartmen 26, Hutan Simpan Kekal Nenggiri.

“Kita masuk ke Hutan Simpan Kekal Nenggiri, khususnya KOMPARTMEN 26. Kita lihat apa terjadi di sana.

“Batang balak jenis MERBAU bersaiz besar bertimbun-timbun tunggu diangkut. Beberapa timbunan balak di metau Daulah Najah,” tulis Husam dalam postingnya awal malam ini.

Kayu balak dari jenis Merbau yang terdapat di Metau milik Daulah Najah.

Menurut Husam, tidak ada yang salah dengan anak syarikat kerajaan negeri mendapat konsensi balak.

“Apa yg mungkin salah atau memalukan ialah – bagaimana KOMPARTMEN 26 yang DIGAZETKAN sebagai HUTAN DARA PERLINDUNGAN atau VIRGIN JUNGLE RESERVE (VJR) yang sepatutnya SANGAT DILINDUNGI – DILULUSKAN kepada syarikat ini,” kata beliau.

Menurut beliau, Jawatankuasa Balak Negeri Kelantan dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan sendiri, Datuk Ahmad Yakub.

“MB sanggup luluskan hutan dara perlindungan untuk dibalak? Anak syarikat Kerajaan Negeri sendiri sanggup membalak di kawasan perlindungan?
Habis, siapa nak jaga Negeri ini?” tanya beliau.


Perhatikan netting hitam sebelah kiri foto. Ia digunakan untuk menutup papan tanda ini.
Ini foto penuh selepas sukarelawan SaveKelantan membuka penutup papan tanda
.

Husam menyiarkan foto papan tanda di metau yang dirakam sekitar jam 5 petang hari ini – 1 Jun 2022 – yang menunjukkan dengan jelas nama Daulah Najah.

“Dek kerana kompartmen ini di bawah hutan perlindungan, tentulah balaknya besar-besar dan sangat berharga. Merbau, bang,” kata beliau.

Husam juga menyiarkan klip video yang menunjukkan banyaknya balak-balak yang belum diangkut, sedangkan lesen sudah tamat sejak 17 Mei 2022 atau dua minggu lalu.

APA DIA HUTAN SIMPAN DARA – VJR

Menurut laman web Jabatan Perhutanan, Hutan Simpanan Hutan Dara (Virgin Jungle Reserve (VJR) mula ditubuhkan sejak tahun 1950.

VJR merupakan kawasan-kawasan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang tidak diganggu dan padat dengan tumbuh-tumbuhan terutamanya hutan yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan disimpan khas untuk tujuan penyelidikan.

Tujuan utama penubuhan VJR ialah untuk menggambarkan jenis-jenis hutan yang terdapast di Semenanjung Malaysia, khususnya yang mempunyai ciri-ciri istimewa bagi tujuan saintifik agar ianya dapat dipelihara dan diurus secara berkekalan.

VJR juga berperanan dan berfungsi untuk tujuan seperti berikut:

Sebagai arboretum untuk memelihara contoh-contoh semua jenis hutan yang diwakili termasuk flora dan fauna yang terkandung di dalamnya;
Sebagai rangkaian kawasan penyelidikan perhutanan dan kawasan dirian biji benih;

Sebagai kawasan kawalan semula jadi untuk membandingkan isi hutan dengan kawasan yang telah dibalak dan keberkesanan kawasan yang telah dijalankan rawatan silvikultur;

Sebagai satu rangkaian petak sampel dan petak kajian seperti petak penyelidikan, petak fenologi, petak pokok besar dan petak ekologi, penyelidikan biologi hidupan liar, patologi tumbuhan, entomologi dan sebagainya; dan

Sebagai kawasan pemeliharaan sumber genetic dan kepelbagaian biologi termasuk semua spesies tumbuh-tumbuhan, hidupan liar dan mikro organisma yang tinggal di dalamnya.

Menurut Jabatan Perhutanan Kelantan, di Kelantan terdapat 17 kawasan VJR termasuk di Kompartmen 26, Nenggiri seluas 186 hektar. Jumlah keseluruhan kawasan VJR di Kelantan adalah 3784 hektar.