Harbour City Melaka dibuka suku pertama 2020

Harbour City Melaka dibuka suku pertama 2020

Projek pembangunan bercampur, Harbour City di Pulau Melaka di sini yang bernilai RM1.2 bilion, dijangka dibuka secara berperingkat bermula suku pertama 2020.

Pengarah Urusan Hatten Group Datuk Colin Tan berkata setakat ini 14 daripada 26 tingkat bangunan berbentuk bahtera itu berjaya disiapkan dengan proses pembinaannya dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata projek tersebut melibatkan pembangunan pusat beli-belah, taman tema Splash World dan tiga blok hotel.

“Pembinaan pusat beli-belah dan taman tema itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2020 manakala tiga blok hotel pula dibuka pada akhir 2020.

“Daripada jumlah pelaburan itu, RM200 juta melibatkan pembinaan taman tema Splash World di tingkat 14 bangunan Harbour City,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional China Zhangzhou yang turut dihadiri Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong di sini, baru-baru ini.

Tan berkata projek Harbour City dijangka memberi manfaat besar kepada kemajuan Melaka dalam pelbagai sektor terutama pelancongan dan ekonomi.

Beliau berkata menerusi destinasi pelancongan sehenti itu, ia dijangka memanjangkan tempoh purata pelancong ke negeri itu daripada satu hari hingga satu setengah hari kepada dua setengah hari hingga tiga hari.

“Selain itu, purata perbelanjaan pengunjung atau pelancong sehari juga dijangka dapat ditingkatkan dengan pelbagai tawaran menarik di Harbour City khususnya taman tema Splash World,”katanya.

Beliau berkata pembinaan tiga blok hotel dengan 1,500 unit bilik itu akan menyediakan pilihan penginapan yang lebih baik dan selesa kepada pengunjung.

Katanya projek itu turut menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan dan perhotelan khususnya kepada warga tempatan.

— BERNAMA