Malaysia Dateline

Harga ayam: Bagi nasihat tanpa tetap harga siling tidak selesai masalah

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin mempertikai kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi yang didakwa seolah-olah tidak membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan basah.

Beliau berkata, Alexander hanya tahu menasihat tetapi tidak membantu dalam menetapkan harga siling barangan basah seperti ayam yang dilaporkan meningkat sebanyak enam kali bulan ini.

Beliau turut menegur Alexander agar tidak memukul rata dengan membandingkan harga ayam segar dan ayam sejuk beku yang dijual di pasaraya besar Tesco.

“Untuk bergerak ke depan, pertama sekali menteri dan timbalan menteri perlu keluar daripada sindrom penafian. Usah berlindung di sebalik beberapa pasaraya seperti Tesco yang menjual ayam sejuk beku dengan harga rendah.

“Bezakan antara harga ayam segar dan harga ayam sejuk beku. Memukul rata kedua kategori ini dengan akhirnya membuat kesimpulan bahawa harga ayam masih terkawal adalah lelucon yang mengundang tawa orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih malang lagi katanya, menteri langsung tidak menyentuh tentang isu minyak masak yang harganya sudah berbulan melambung.

“Bahkan sempat pula beliau titipkan pesan agar rakyat Malaysia menjadi pengguna yang bijak. Aduhai, kalau itulah mauduk besar yang mahu disinggung, beliau ‘hilang’ terus pun tidak mengapa.

“Mengapa tidak ditetapkan harga siling? Kita tercari-cari juga dalam kenyataan 6 muka itu kalau-kalau ada diumumkan harga siling barangan,” soalnya lagi.

Pada semalam, Alexander menafikan isu yang viral baru-baru ini tentang dakwaan berlakunya peningkatan harga ikan, ayam dan daging lembu yang dikatakan tinggi di aplikasi PriceCatcher KPDNHEP di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dakwaan itu kurang tepat serta tidak menggambarkan situasi sebenar kerana maklumat disebarkan tidak menerangkan harga di semua tempat.

Menurutnya, paparan viral itu hanya membabitkan harga tiga barang iaitu ikan kembung, ayam dan daging di premis sekitar Bukit Bintang sahaja, namun premis lain di kawasan berdekatan menjual tiga barangan berkenaan pada harga lebih murah.

Sementara itu Shazni berkata, nasihat Alexander agar pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher juga wajar dinilai semula.

Ini kerana katanya, jika harga ikan kembung yang rendah adalah sejauh sembilan kilometer daripada lokasi semasa, adakah pengguna perlu bergerak sejauh itu untuk dapatkan sekilogram ikan kembung dengan harga yang munasabah.

“Kalau inilah kualiti menteri kabinet yang ada sekarang, tidak peliklah mengapa tempelan #KerajaanGagal masih terus melekat,” ujarnya.