Malaysia Dateline

Harga ayam: Masa kerajaan dulu apa yang Pas buat, kenapa bising sekarang?

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz mempersoal mengapa Pas tidak menyelesaikan masalah harga barang yang mendadak ketika parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan terdahulu dan memegang jawatan menteri.

Ini selepas Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pada semalam meminta Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk menyatakan langkah bersepadu di pihak kerajaan bagi menangani segala gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran.

Beliau menyoal pendirian kerajaan terhadap monopoli, kartel dan kuota, selain menuntut kerajaan menjelaskan tindakan terhadap pembekal yang menyorokkan stok bekalan

Bagaimanapun Syam Ghaz dalam hantaran Facebook membalas, ketika Pas mentadbir negara, parti itu langsung tidak dapat mengawal kenaikan harga dedak ayam yang meningkat sekitar RM82 hingga RM87 satu beg kepada RM135 hingga RM140 per beg.

“Waktu 18 MP Pas menjadi kerajaan dulu, kenapa tidak diselesaikan kenaikan harga barang mendadak? Kenapa sekarang baru riuh sekampung.

“Kerajaan waktu kamu tadbir dulu, tidak dapat kawal langsung kenaikan harga dedak ayam. Malah harga anak ayam tidak letak harga siling, naik mendadak daripada sekitar RM2.50-RM2.80 seekor, naik kepada RM3-RM3.20 seekor.

“Kenaikan harga dedak, kononnya naik sebab perang di Ukraine-Rusia. Jagung ganti kekurangan gandum dalam pasaran. Short dalam supply bahan mentah. Demand jagung naik mendadak masa itu (kerana dijadikan) pengganti gandum.

“Tapi tahun lepas waktu Pas dalam kerajaan, harga bekalan jagung sudah turun, kos pengangkutan (kapal laut) juga telah turun. Kenapa harga dedak kerajaan gagal kawal supaya diturunkan?,” soalnya.

Keratan artikel MP Pas bidas Rafizi Ramli

Syam Ghaz turut menyoal di mana sebenarnya kawalan polisi, dasar dan teori elekstik yang mereka katakan perlu dikawal masa itu.

“Sedangkan masa kamu jadi kerajaan pun tidak terkawal, melambung inflasi kenaikan harga barang. Menteri Pertanian paling lemah masa PN,” katanya sambil mengingatkan bahawa kerajaan terdahulu mengambil kartel ayam menjadi penasihat.

“Harap kerajaan sekarang tidak lagi mengambil kartel ayam menjadi penasihat bab ayam, kesian peniaga ayam bumiputera dan kecil, jika monopoli ayam tidak dikawal,” tambahnya lagi.

Ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada 2020, tiga wakil Pas memegang jawatan sebagai menteri Kabinet manakala lima lagi pemimpinnya dilantik sebagai timbalan menteri.

Pada 2021 ketika berlaku peralihan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri, jumlah pemimpin Pas dalam Kabinet masih kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri.

Sementara itu Syam Ghaz menyarankan agar kerajaan mengawal aktiviti eksport telur dan penyeludupan bahan makanan itu, kerana ketika ini pengeluaran sudah melebihi permintaan hingga peniaga-peniaga memilih mengeksport keluar sebab mata wang Malaysia rendah.

Beliau juga meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang usianya baru sahaja sebulan supaya mereka dapat mengusahakan sepenuhnya untuk mengawal kartel, mengawal harga lantai dan siling, serta melakukan reformasi agensi berkaitan terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Nampaknya Lembaga Unggas yang kami cadang dulu dah kena buat dah untuk kawal Industri Ayam dari A sampai Z. Terutamanya bab dedak, anak ayam, lesen, monopoli dan import eksport. Lembaga fokus kepada pembangunan industri ayam, dan JPV fokus kepada perkhidmatan dan kesihatan.

“Rakyat Malaysia makan ayam 2 juta ekor dan 30 juta biji telur sehari. Sumber protein paling murah di Malaysia, sebab itu YB-YB mana pun jadi kerajaan janganlah tipu rakyat, kenaikan harga sehari-hari mereka lebih cekap dari kita,” katanya.