Malaysia Dateline

Baru hari kedua puasa, harga ayam naik mendadak mengejutkan

Senario kenaikan harga ayam dilihat selalu sangat terjadi apabila masuk sahaja bulan Ramadan dan akan berlarutan sehingga berakhirnya sambutan Aidilfitri.

Baru hari kedua Ramadan orang ramai telah dikejutkan dengan kenaikan harga ayam yang mendadak dari harga RM7.50 sekilogram sebelum Ramadan, kini naik kepada RM8.50 sehingga RM9.50 sekilogram.

Begitu juga harga daging segar naik kepada RM38 kg berbanding antara RM35 hingga RM36 kg pada minggu lalu dan diramalkan bakal mencecah RM45 kg.

Ia tidak berlaku ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah di mana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu adalah Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunanya adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketika itu, menjadi bualan harga ayam jatuh dan terkawal ketika musim perayaan dan menyambut puasa.

Seorang pengguna facebook, Johar Ismail mempersoalkan apa usaha kerajaan dalam menangani masalah ini apabila menjelang sahaja musim perayaan.

Bahkan beliau menyalahkan kerajaan yang tidak mencari inisiatif bagaimana hendak mengawal harga ayam atau barangan lain disaat rakyat sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Nak tanya betul-betul, kerja atau tidak, ke makan gaji buta?

“Kerajaan yang menunggang Melayu dan Islam untuk terus memerintah dengan membiarkan rakyat menderita..!

“Setiap detik dan saat ada saja barangan yang naik harga.. !” ujarnya menerusi Facebook.

Para peniaga terpaksa menaikkan harga makanan berikutan harga bahan mentah naik mendadak

Ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga 27 jenis barangan keperluan semasa Ramadan seterusnya sambutan Hari Raya Puasa.

Kawalan harga dibuat ke atas barangan bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran, membabitkan ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import).

Bagi membendung kenaikan harga tidak munasabah, tindakan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

SHMMP dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah Datuk Salahuddin Ayub bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.