Malaysia Dateline

Harga ayam: Tidak jadi masalah kalau PN mahu ceduk idea kerajaan PH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan mempraktikkan mekanisma yang telah digunapakai Pakatan Harapan dalam usaha mengawal harga barang khususnya bahan mentah menjelang perayaan.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir berkata, tidak menjadi masalah untuk kerajaan PN mengambil mekanisma bagaimana PH kawal harga barang termasuk ayam sekiranya ketandusan idea demi menjaga kebajikan rakyat.

Ketika zaman PH kebertanggungjawaban langsung bawah Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, majlis ini berperanan mengkoordinasi kementerian-kementerian yang terlibat dalam memastikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) benar-benar dilaksanakan dan harga barangan terkawal.

“Kerajaan juga harus memastikan bekalan bahan mentah dan keperluan harian mencukupi menjelang Syawal serta tiada kenaikan harga barangan yang membebankan,” katanya.

Justeru, katanya kebajikan rakyat wajib menjadi perhatian utama kerajaan dalam tempoh masa sekarang apatah lagi rakyat sudah acap kali menjadi mangsa dengan pelbagai peraturan dan kompaun yang tidak berasas.

“Jangan dibiarkan rakyat terus merana dengan kenaikan harga barangan lagi,” katanya.

Harga ayam segar di beberapa buah negeri menunjukkan kenaikan antara 50 sen hingga RM1.50.

Kebanyakan pembekal atau pemborong mengambil kesempatan menjelang bulan Ramadan dan Syawal kali ini untuk mengaut keuntungan lebih daripada biasa.

Hasilnya, kata beliau ada peniaga yang terpaksa menjual dengan harga RM9.50 hingga RM10 sekilogram, ini sangat membimbangkan kerana kenaikan harga yang ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, menteri dan timbalan menteri yang ‘tidur’ dan masih tiada langkah proaktif membuktikan bahawa ini adalah sebuah kabinet dan kerajaan gagal serta tidak peduli dengan nasib rakyat.

“Rakyat bukan sahaja ditekan dengan pelbagai SOP yang ketat, bahkan di sesetengah negeri seperti Kelantan langsung tidak dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan.

“Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Sudahlah tidak mempunyai peluang untuk mencari rezeki, harga bahan mentah pula melambung tinggi.

“Bertambah malang buat rakyat apabila Menteri KPDNHEP dalam kenyataan sebelum ini menafikan wujudnya kenaikan harga bahan mentah ini,” katanya.

Pemuda AMANAH menggesa agar menteri yang bergaji besar itu segera bangun dari ‘tidur’ dan laksanakan satu mekanisme kawalan harga secepat mungkin.