Tiga minggu tidak berubah bukti harga bahan api boleh distabilkan

Tiga minggu tidak berubah bukti harga bahan api boleh distabilkan

Shazni Munir Mohd Ithnin

Pemuda Pakatan Harapan yakin kerajaan berkuasa untuk memastikan harga minyak dapat distabilkan setelah tiga minggu harga petrol dan diesel dapat dikekalkan.

“Masuk minggu ini, telah tiga minggu berturut-turut harga bahan api kekal pada kadar RM2.20 (RON95), RM2.47 (RON97) dan RM2.18 (diesel).

“Situasi ini membuktikan bahawa wujud mekanisme bagi membolehkan harga bahan api stabil, walau sebelum ini Kerajaan Persekutuan seakan-akan tidak menjumpai mekanisme ini hingga harganya turun dan naik dengan tidak menentu.,” ujar Pengarah Mobilasi Pemuda PH Malaysia.

Shazni Munir Mohdd Ithnin (foto) yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu turut berkata, kerajaan sementara kini terpaksa menstabilkan harga bahan api bagi mengekang kemarahan awam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Justeru katanya lagi, keterpaksaan ini mengundang rasa khuatir rakyat kelak, harga bahan api itu akan melambung tinggi sekiranya Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai Kerajaan Persekutuan selepas 9 Mei ini.

“Kekhuatiran ini berasas jika melihat kembali kenaikan mendadak harga RON95 selepas BN menang PRU-13 yang lalu.

“Selari dengan Manifesto Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar, kita pastinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan kestabilan harga bahan api yang sedang dinikmati ketika ini.

“Bahkan untuk kelompok yang layak, harga bahan api akan menjadi lebih murah apabila terlaksananya pemberian subsidi bersasar,” ujarnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote