Malaysia Dateline

Harga baju sekolah sedikit meningkat, ibu bapa tetapkan berikan terbaik untuk anak-anak

Ibu bapa pastinya golongan yang paling sibuk melakukan persiapan untuk anak-anak mereka menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada Khamis depan.

Tinjauan Malaysia Dateline, hari ini mendapati, rata-rata ibu bapa sedang sibuk membeli barangan persekolahan dan pada masa sama, wartawan cuba mendapatkan pandangan mereka tentang harga barangan persekolahan yang dijual di pusat pakaian.

Bagi Azman Jamalludin, 41, dari Subang Perdana berpendapat, harga baju sekolah yang dijual pada tahun ini mengalami sedikit peningkatan.

“Saya tengok harga baju sekolah yang dijual memang nak sikitlah harga dia, tetapi harga kasut sekolah pula lebih kurang sahaja dengan tahun lepas.

“Tapi seperti yang kita tahu, kelengkapan sekolah ini memang satu keperluan, jadi kami sebagai ibu bapa akan menyediakan yang terbaiklah untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di sebuah pusat pakaian di Subang, hari ini.

Ditanya tentang kadar yuran persekolahan dan tambang bas sekolah, Azman berkata, kedua-dua kadar itu tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Seorang lagi bapa yang dikenali sebagai Asyraf, 38, pula berpendapat, faktor kelembapan ekonomi menyebabkan pembeli turut terkesan.

“Walaupun rata-rata pasaraya menawarkan harga promosi untuk barangan ‘Back To School’, saya lihat kuasa membeli itu kurang.

“Lebih-lebih lagi untuk keluarga yang mempunyai anak bersekolah yang ramai di mana mereka terpaksa mencatu perbelanjaan untuk petrol, yuran dan kos penghantaran anak-anak ke sekolah,” luahnya.