Malaysia Dateline

Harga barang: Kerajaan perlu bertindak segera

Isu harga barang sememangnya dekat dengan hati rakyat. Rakyat adalah pengguna dan pengguna adalah rakyat. Kenaikan harga barang pastinya akan memberi kesan kepada rakyat.

Sepertimana diperkatakan di media, harga barangan telah naik ketika ini. Harian Metro melaporkan, harga ayam telah naik lima kali sepanjang Ramadan.

Peniaga mendakwa harga ayam di Kuantan, Pahang dijangka meningkat 50 sen dalam waktu terdekat, kepada RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Untuk rekod, sebelum ini, harga ayam di Kuantan dijual sekitar RM7.50 sekilogram. Sebagai pengguna, terutama dengan keadaan ekonomi ketika ini, kita pastinya mahu kerajaan untuk bertindak segera dalam membendung kenaikan ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan pengguna telah dilaporkan mencadangkan agar pembelian ayam diboikot. Ini bagi memberi kesedaran kepada industri supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Dengan cara itu, isu kenaikan harga yang berlaku saban tahun ketika musim perayaan dikatakan dapat diselesaikan secara berperingkat.

Hakikatnya, rakyat mahu isu kenaikan barang ini diselesaikan oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Rakyat mahu tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Sebab itu, adalah tidak wajar jika pengguna dinasihatkan agar memilih kedai atau pasar yang tawarkan harga murah. Pihak kerajaan ada kuasa untuk melaksanakan skim kawalan harga dan mengambil tindakan.

Mengimbau kembali ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada tahun lalu, KPDNHEP dilaporkan tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga barang kawalan sempena musim perayaan Aidilfitri.

Menterinya ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di 18,000 premis dan mendapati semuanya tidak menaikkan harga melepasi harga siling yang ditetapkan.

Sewaktu Datuk Seri Salahuddin Ayub di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), MOA dan KPDNHEP sentiasa bekerjasama erat dalam memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga bahan makanan berpatutan terutamanya sepanjang musim perayaan.

Skim kawalan harga

Bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri tahun ini, kerajaan telah mengumumkan harga maksimum bagi 11 jenis barang iaitu jumlah yang jauh berkurangan berbanding senarai barang tahun lalu di bawah PH, dengan 27 barang.

Senarai barangan tersebut sepatutnya dipertambah bukan dikurangkan. Ini terutama ketika rakyat ketika ini sedang berdepan dengan masalah pendapatan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Skim harga itu juga dikuatkuasakan dengan tempoh yang lebih singkat iaitu 15 hari bermula 20 Mei hingga 3 Junberbanding tempoh kuatkuasa skim berkenaan tahun lalu selama 30 hari dan bermula 15 hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Sepertimana ditekankan Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, tempoh kuat kuasa yang lebih pendek terutamanya sebelum waktu sambutan akan menyebabkan kegagalan perlaksanaan kawalan harga sekali gus membebankan rakyat sendiri.

Kerajaan ketika ini perlu peka dan serius dalam mengawal harga barang. Ini demi kepentingan rakyat.

Ambil teladan daripada pencapaian Kerajaan PH dalam mengawal harga barang. Pihak berwajib sekarang perlu terus fokus kepada usaha-usaha melawan gejala pencatutan dan memastikan harga barang berada pada kadar berpatutan.