Malaysia Dateline

Harga barang naik menjelang Ramadan baru baru ini Foto Wan Zahari Wan Salleh

Harga barang: KPDNKK diingat tidak hanya salahkan peniaga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dilihat gagal menyelaraskan harga barang di pasaran sebaliknya cenderung menyalahkan pemborong atas kenaikan harga.

Mohd Sany Hamzan Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, KPDNKK yang lebih berkuasa daripada pemborong dan peruncit seolah-olah tidak berperanan.

“KPDNKK lebih cenderung untuk menyalahkan pemborong tanpa menginsafi kelemahan yang ada pada mereka menyebabkan perkara ini berlaku. KPDNKK sewajarnya membuktikan mereka adalah lebih berkuasa daripada semua termasuklah para pemborong.

“Kegagalan fungsi penting kerajaan seperti KPDNKK ini adalah satu malapetaka besar buat negara, kerajaan yang ada tidak lagi mampu untuk mengurus hal negara khususnya melibatkan kepentingan rakyat. Apabila agensi tidak berperanan, maka berlakukah pengurusan cacar merba seperti yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, kenaikan harga barang ini semakin ketara khususnya pada musim perayaan akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kos hidup di negara ini semakin meningkat naik dan harga barangan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan melalui agensinya.

“Menjelang Ramadan baru-baru ini, rakyat di semua peringkat merintih tentang kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan asas. Antara yang naik termasuklah harga barangan basah seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, para peniaga tidak lagi mampu untuk mengekalkan harga asal kerana terpaksa menanggung dan menampung kos yang semakin meningkat. Mereka perlu memikirkan keuntungan yang diperoleh selari dengan modal yang dikeluarkan,” katanya.