Malaysia Dateline

Harga barang makin melambung ada kaitan dengan rasuah? Syed Hussein Alatas lama dah ingatkan!

Sejak Ramadan lalu, harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging dan sayur-sayuran melambung tinggi.

Namun, pemimpin Barisan Nasional (BN) galak bercakap mahu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam masa sama, negara tersadung dalam jenayah rasuah apabila merekodkan prestasi terburuk dalam penarafan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sejak kerajaan pintu belakang bermula pada 2020 menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRU 2018.

Selepas PH dikhianati, penurunan CPI negara berlaku selama dua tahun berturut-turut sedangkan semasa era PH, Malaysia berada di kedudukan ke-61 pada 2018 dan tahun berikutnya meningkat lagi ke tangga ke-51.

Profesor Syed Hussein Alatas

Ahli falsafah dan sosiologi terkenal, Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas telah lama mengingatkan bagaimana jenayah rasuah akan membebankan rakyat apabila harga barang semakin mahal.

Berikut petikan buku “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka oleh Syed Hussein Alatas yang juga pernah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (1988-1991):

Telah lama dimaklumi bahawa beban ekonomi yang disebabkan oleh rasuah jatuh ke atas bahu orang awam. Sogokan atau pemerasan dikira sebagai kos yang dikenakan ke atas mereka.

Oleh itu, sebagai kesan rasuah, barang-barang menjadi lebih mahal, di samping beban lain berupa cukai dan pungutan lain yang sah.

Kebebasan yang ditimbulkan oleh rasuah menjadi pendorong pula kepada para peniaga dan tokoh-tokoh korporat yang serakah untuk menambahkan kadar keuntungan mereka dengan mengabaikan kualiti dan juga menaikkan harga secara artifisial. Hal ini terkesan langsung kepada pengguna.

Selain itu, penderitaan masyarakat bertambah lagi apabila perbendaharaan negara tidak menerima cukai daripada mereka yang kaya-raya dan yang rasuah yang juga pintar mengenai cara-cara mengelakkan cukai.

Pengelakan seperti ini berakibat lebih tingginya kadar bayaran cukai yang harus ditanggung oleh warganegara yang jujur, untuk menutup jumlah yang tidak dibayar oleh mereka yang rasuah.