Malaysia Dateline

Pengguna dibebankan pula dengan kenaikan harga sayursayuran

Harga barang naik ‘hadiah’ Keluarga Malaysia?

Akhir Januari lalu, warga maya heboh tentang pengeluar makanan ringan Jepun, Snack Yaokin yang bercadang untuk menaikkan harga makanan rangupnya yang paling popular sebanyak dua yen.

Memandangkan ia adalah produk yang menjadi kegemaran golongan pelbagai peringkat usia, keputusan sedemikian akan mempunyai impak yang besar iaitu kemarahan penggemarnya.

Syarikat Yaokin telah mengesahkan bahawa khabar angin tersebut adalah benar dan mereka akan menaikkan harga snek tersebut.

Terdahulu syarikat tersebut telah membuat pengumuman rasmi menerusi akaun Twitternya yang bernama ‘Umaibo’ berbunyi:

“Terima kasih atas sokongan berterusan anda terhadap Umaibo. Seperti yang tela dilaporkan pelbagai media, disebabkan peningkatan kos bahan-bahan dan penghantaran Umaibo serta perbelanjaan lainnya, bermula 1 April 2022, kami akan menaikkan harga daripada 10 yen kepada 12 yen.

Kami dapat mengekalkan harga pada 10 yen selama 42 tahun yang lalu. Terima kasih sepenuhnya atas sokongan anda dan kerjasama semua yang terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran Umaibo, dan kami amat menghargainya.

Di samping itu, kami memohon maaf atas kekeliruan dan kekecohan yang berlaku sebelum pengumuman rasmi daripada pihak syarikat. Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk kepuasan anda semua.”

Hanya kerana dua yen

Maka, khabar angin itu bukan sekadar kisah kosong. Angka-angka kecil itu adalah benar. Umaibo hanya akan naikkan dua yen, dan ia berada pada harga semasanya iaitu 10 yen yang sangat murah sejak mula dijual pada tahun 1979.

Mengikut laporan tersebut, jagung tersebut bukanlah makanan mewah, tetapi pada zaman ini, adalah unik untuk mana-mana syarikat yang menjual produk utamanya pada harga yang begitu rendah.

Apatah lagi, Snack Yaokin adalah sejenis makanan ringan kecil yang membuatkan sesiapa yang memakannya, terasalah perutnya beralas.

Syarikat itu juga dilaporkan tidak kedekut meletakkan perisanya kerana terdapat berpuluh- puluh perisa yang berbeza, daripada masin, pedas, manis, semuanya mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Berikutan itu, pelbagai maklum balas dapat dilihat melalui ciapan Twitter tersebut daripada penggemarnya.

“Anda benar-benar bekerja keras mengekalkannya pada 10 yen untuk kami”.

“Terima kasih kerana mengekalkan harga pada 10 yen untuk sekian lama. Tiada masalah langsung dengan harga baharu.”

“Saya boleh (terima) naik sehingga 100 yen”

“Saya cuma ada satu permintaan: Tolong jangan kecilkan saiznya”

Barangkali nada serius pengumuman tersebut mungkin kelihatan agak lawak bagi sesetengah rakyat di negara ini, tetapi ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam dunia makanan ringan di negara matahari terbit itu.

Namun realitinya, situasi sedemikian bukanlah kali pertama berlaku di sana. Pada 2016, sebuah syarikat pencuci mulut dan makanan sejuk beku di negara itu telah memohon maaf kerana menaikkan harga Garigari-kun, iaitu aiskrim yang popular untuk kanak-kanak.

Akagi Nyuguyo menaikkan harga ais krimnya dari 60 yen (RM2.17) kepada 70 yen (RM2.53), kenaikan 36 sen buat kali pertama sejak 25 tahun.

Apa yang dapat kita pelajari?

Sedarkah kita, walaupun naiknya tidak sampai 40 sen duit Malaysia, pengusaha produk tersebut sangat merendah hati menyampaikan ucapan maafnya selain memaklumkan sebab kenaikan itu berlaku.

Pelajaran semudah menyusun huruf A hingga Z, namun adakah yang ambil pengajaran daripadanya?

Jika kita pergi ke pasar atau kedai barangan runcit yang menjual keperluan harian pada bulan Disember 2021, pergi lagi pada awal Januari 2022 dan pergi lagi pada awal Februari, adakah barang yang kita beli dapat harga yang sama dalam tiga situasi yang kita hadapi itu, walaupun di kedai yang sama dan kualiti yang sama?

Jawapannya, tentulah tidak! Ada yang sudah naik bukan dua sen tetapi beringgit-ringgit hingga membuatkan para pengguna berfikir panjang dan garu kepala untuk membeli barangan itu lagi.

Adakah kenaikan barang-barang tersebut diumumkan oleh mereka yang terlibat dalam mengeluarkannya, atau paling tidak memohon maaf dan menyatakan sebab kenaikan tersebut, walaupun sebilangan antara kita sedia maklum kerana kos-kos yang meningkat?

Namun, hal sebagaimana di negara Jepun itu tidak kelihatan di negara kita ini. Apa lagi pihak kerajaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai kuasa dan peranan besar terhadap ketetapan harga keperluan harian rakyat itu.

Mungkin bagi mereka yang punya kewangan yang selesa, perkara sedemikian tidak menjadi isu, tapi bagaimana mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, ditambah dengan ahli keluarga yang ramai?

Di mana aura ‘Keluarga Malaysia’?

Sampai bila tragedi ini berterusan? Bagaimana pengaplikasian konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri yang seakan tiada aura ‘kekeluargaan’ itu?

Rakyat perit, sakit dengan situasi yang tidak berkesudahan ini. Dengan barangan yang seakan terputus kini seperti telur ayam, apakah hal demikian tidak disedari jemaah menteri?

Walaupun rakyat baru ingin menarik nafas lega selepas akur menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan, namun isu harga barang naik dan ketiadaan bekalan keperluan ini menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan pada rakyat.

Sewajarnya kata titik penyelesaian segala tragedi dan isu rakyat serta negara yang terjadi selama ini perlu disegerakan.

Jangan terus biarkan rakyat tertekan dan terkesan kerana pandemik dek kerana melihat fiil pihak berkuasa yang seperti buta, pekak dan tuli sahaja. Kembalikan kesejahteraan Malaysia!


Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian
IKRAM.