Malaysia Dateline

Harga barang naik: Kerajaan PN perlu ambil serius sekarang, kata Salahuddin

Rakyat hari ini sedang menghadapi derita berganda bukan sahaja dengan keadaan pandemik COVID-19 yang tiada kesudahan bahkan terpaksa berdepan dengan senario kenaikan harga barang ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu kenaikan harga barang kali ini adalah realiti dan kerajaan Perikatan Nasional perlu mengambil serius bermula sekarang.

Katanya, rakyat sedang menunggu dalam tempoh terdekat langkah tegas kerajaan untuk mengumumkan harga kawalan bagi mengatasi kenaikan harga barang keperluan asas menjelang sambutan Hari Raya Puasa.

“Saya meninjau isu kenaikan harga ayam, daging lembu dan kambing di Pasar Larkin Central, Johor Bahru, hari ini.

“Isu kenaikan harga adalah real dan perlu diambil serius kerajaan PN sekarang,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Orang ramai telah dikejutkan dengan kenaikan harga ayam yang mendadak dari harga RM7.50 sekilogram sebelum Ramadan, kini naik kepada RM8.50 sehingga RM9.50 sekilogram.

Begitu juga harga daging segar naik kepada RM38 kg berbanding antara RM35 hingga RM36 kg pada minggu lalu dan dijangka bakal mencecah RM45 kg.

Ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga 27 jenis barangan keperluan semasa Ramadan seterusnya sambutan Hari Raya Puasa.

Kawalan harga dibuat ke atas barangan bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran, membabitkan ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import).