Ketika ini rata-rata rakyat sedang mengeluh dan marah berikutan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga banyak barang keperluan seharian.
Ayam, sayur, ikan, minyak masak dan hampir semua barangan keperluan harian sedang menggila kenaikannya, walhal rakyat baru saja pulih untuk meneruskan hidup kesan daripada Covid-19 mewabak lebih dua tahun lamanya.
Sementara kita tahu kerajaan sedang berusaha dengan pelbagai cara untuk mengatasi permasalahan tersebut, juga disedari menurunkan harga barang bukanlah boleh dilakukan dalam tempoh sehari dua.
Ia biasanya akan memakan masa beberapa bulan kerana kenaikan itu mempunyai hubung kait dengan penawaran dan permintaan serta bagaimana untuk meningkatkan bekalan di pasaran.
Maka itu, dalam bulan-bulan terdekat ini dan sementara harga barangan keperluan belum begitu stabil, rakyat pada hakikatnya sedang dalam keadaan marah, mengeluh dan tidak puas hati terhadap kerajaan.
Apabila harga barang naik, darah rakyat pun akan segera menaik juga. Pada ketika rakyat marah, mengeluh dan tidak puas hati ini, perkara yang paling tidak harus dilakukan oleh kerajaan ialah mengadakan pilihan raya.
Pilihan raya hanya wajar diadakan apabila rakyat dalam keadaan selesa, puas hati dengan gembira dengan kerajaan kecuali jika kerajaan memang sengaja mahu menempah kekalahan dan barangkali sudah bosan jadi kerajaan, barulah sesuai mengadakan pilihan raya ketika rakyat sedang marah.
Namun, sudah tentu tiada mana-mana kerajaan di dunia ini mahu kalah dalam pilihan raya semata-mata kerana sudah bosan jadi kerajaan.
Tidak terkecuali dengan kerajaan sedia ada di negara kita yang tidak mahu kalah pilihan raya dan Ismail Sabri Yaakob juga pastinya belum bosan untuk terus jadi Perdana Menteri, maka beliau tidak seharusnya tergesa-gesa mahu membubarkan Parlimen.
Biar pun sedang didesak dan diasak oleh pimpinan partinya sendiri iaitu Umno agar segera membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya, Ismail Sabri mesti lebih bersabar dan bertenang menangani desakan serta asakan tersebut.
Sebaiknya hentikan seketika untuk melayan desakan Umno itu kerana sebagaimana diketahui umum, sesetengah mereka itu berbuat demikian kerana hanya mahu menyelamatkan diri berikutan ketika ini sedang berdepan perbicaraan di mahkamah.
Berbanding mereka yang mahu memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri, Ismail Sabri punya tanggungjawab lebih besar iaitu ingin menyelamatkan kerajaan dan menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.
Dengan yang demikian, PRU-15 sebenarnya lebih sesuai diadakan pada tahun depan, bukan tahun ini.
Rakyat sendiri secara umumnya lebih sedia berdepan PRU pada tahun 2023 berbanding 2022 yang penuh sengsara dan kegetiran dalam mereka meneruskan kehidupan sekarang ini.