Harga barangan di Pangkor dijangka turun ketara tiga bulan lagi

Harga barangan di Pangkor dijangka turun ketara tiga bulan lagi

Pengunjung ke Pulau Pangkor dijangka dapat merasai penurunan harga barangan yang ketara kesan daripada pengisytiharan pulau peranginan itu sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) dalam tempoh tiga bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata penurunan harga berkenaan akan berlaku secara berperingkat dan pemantauan akan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Masalah peniaga sekarang mereka ada stok lama yang dibeli dengan harga lama, jadi ia mengambil masa untuk menghabiskannya. Pemantauan mendapati, setakat ini harga masih sama tetapi hanya untuk jangka masa pendek,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Mesra bersama Komuniti Pulau Pangkor sempena Pangkor PBC 2020 di Pasir Bogak di sini, hari ini.

Menurut Sivanesan, KPDNHEP turut menjalankan kajian bagi memantau kenaikan harga barangan, makanan dan perkhidmatan di Pulau Pangkor dan maklumat harga ini akan dijadikan panduan serta asas kepada kajian hadapan.

“Sebanyak 109 premis seperti pasar awam, kedai runcit, pasar raya, penyedia perkhidmatan seperti teksi, hotel, restoran dan gerai makanan di pulau itu telah diperiksa oleh pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP,” katanya.

Sivanesan berkata berdasarkan pemantauan, 23 jenis barangan keperluan pengguna dan 18 makanan siap masak mengalami kenaikan harga melebihi 10 peratus antaranya disebabkan faktor logistik kerana barangan mentah terpaksa dibawa masuk melalui jeti Kampung Acheh berbanding Jeti Marina, Lumut, sebelum ini.

“Pemantauan ke atas 20 premis hotel, resort dan rumah tumpangan pula mendapati sebuah premis menaikkan caj perkhidmatan menerusi pakej yang ditawarkan manakala sebuah lagi premis mengalami penurunan,” katanya.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata terdapat enam jenama rokok akan mengalami penurunan harga kira-kira 100 hingga 150 peratus mulai esok.

“Setakat ini, satu jenama rokok sahaja iaitu Marlboro mengalami penurunan harga dari RM150 satu paket (karton) untuk 10 kotak, turun kepada RM58,” katanya.

Pulau Pangkor diberikan status sebagai Pulau Bebas Cukai bermula 1 Jan lepas, namun pengisytiharan rasmi dijangka disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada satu tarikh yang akan ditetapkan.-Bernama.