Malaysia Dateline

Harga barangan terkawal, kurang rungutan pengguna, bukti kejayaan bersepadu setiap kementerian

Harga barangan mentah yang terkawal sepanjang musim perayaan dan berkurangnya rungutan di kalangan pengguna menjadi bukti jelas kejayaan bersepadu setiap kementerian di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Naib Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata, kejayaan tersebut terutamanya usaha dari Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, Langkah memasukkan 27 senarai barangan mentah dan memanjangkan tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) daripada 15 hari kepada 30 hari telah menunjukkan hasil positif.

“Pemuda AMANAH mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi NACCOL, serta pasukan kementerian yang diterajui Dato’ Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Kami percaya bahawa selepas setahun mengambil alih pentadbiran negara, kesemua kementerian Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan telah menemui rentak dan formula terbaik untuk melakukan islah menyeluruh yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat.

“Rakyat sebagai pemegang taruh terbesar kepada kerajaan hari ini berhak untuk menerima semula hasil tuaian, setelah perubahan besar yang mereka kenderai setahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepimpinan di setiap peringkat, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan MPKK untuk sentiasa fokus terhadap isu-isu yang terkait langsung dengan kebajikan dan keperluan rakyat khususnya orang muda supaya mereka benar-benar merasai perubahan yang sedang dan telah pun digerakkan oleh kerajaan ketika ini

Dari tinjauan Malaysia Dateline juga mendapati rata-rata pengguna laman sosial Faceebok dan Twitter yang meluahkan rasa teruja kerana harga barangan mentah di pasaran tidak mengalami kenaikan harga seperti tahun-tahun sebelum ini terutama apabila menjelang musim perayaan .

Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Aqil, berkata, tiada lagi isu kekurangan minyak dan gula untuk tahun ini.

“Tahun ni tak ada dengar minyak tak cukup, gula kena sorok lah dan kena catu. Tahun ni tak dengar langsung, smooth je rasa,” katanya.

Manakala pengguna twitter, Ammar Izham turut mengakui tidak kedengaran kenaikan harga pada musim perayaan kali ini.

“Raya kali ni tak kedengaran pula harga ayam naik, harga daging naik, gula kena sorok. Perasan tak? Sebab benda bagus dan baik tak ada yang perasan,” katanya.

Pengguna Adam Neuser, mengucapkan terima kasih kepada menteri yang memastikan harga dalam keadaan terkawal.

“Untuk raya tahun ni, rekod paling murah ayam saya pernah beli. Buat pertama kalinya saya beli ayam bawah RM10 seekor. Terima Kasih Yb atas usaha yang berterusan,” ujarnya.

Manakala pengguna Kei, berkata, “Dah nak dekat raya, harga ayam sekitar RM6 sekilo, murah. Kalau sebelum ni dekat raya, sekilo dekat sebelas ringgit. Syabas Kerajaan,” katanya.