Malaysia Dateline

Harga daging segar melambung jauh lebihi harga siling

Harga daging segar tempatan melambung secara mendadak jauh mengatasi harga siling RM34 sekilogram yang ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP).

Tinjauan Malaysia Dateline di pasar tani Bukit Sentosa di Hulu Selangor pagi tadi mendapati harga daging tempatan dijual minimum RM42 sekilogram.

Di Ampang Jaya pula, harga daging segar tempatan dijual antara RM44 hingga RM45 sekilogram.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dilapor menerima aduan berhubung kenaikan harga daging segar tempatan yang meningkat secara mendadak di negeri itu.

Kenaikan harga yang berlaku sejak mula Ramadan lalu dan semakin melonjak ketika menjelang Aidilfitri.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, aduan daripada pengguna memaklumkan harga daging dijual antara RM40 hingga RM55 sekilogram, dipetik Harian Metro.

Permintaan terhadap daging segar tempatan dilihat meningkat ekoran pembongkaran sindiket kartel daging sejuk beku sebelum ini.