Malaysia Dateline

Harga dedak terus meningkat akhirnya penggunalah yang kena bayar tinggi

Penternak hari ini semakin hari semakin susah hati berikutan harga makanan ternakan yang semakin meningkat terus menimbulkan kegelisahan dalam kalangan mereka.

Pengerusi Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS), Maarif Maarof berkata, harga dedak yang meningkat sehingga 30 peratus sejak tahun lalu memberi tekanan kepada penternak ketika kerajaan masih dilihat tidak berupaya mengawalnya.

Harga dedak terus meningkat akhirnya penggunalah yang kena bayar tinggi
Ternakan lembu antara yang memerlukan dedak yang banyak

“Buat masa ini golongan penternak susah hati dengan kenaikan harga makanan ternakan sejak tahun lepas, ia begitu mendadak.

“Alasan diberikan kerana bahan mentah sukar didapati jadi saya minta supaya kerajaan lakukan sesuatu dan mengawal harga dedak ini.

“Penternak perlu terus memberikan ternakan mereka makanan tetapi harga makanan ternakan pula tinggi, kesannya nanti tentu harga produk akhir kepada pengguna iaitu daging juga tinggi.

“Penternak tidak boleh jual pada harga yang ditetapkan kerajaan kerana harga kos penternakan juga sudah tinggi.

Tentunya sebelum ini kami sudah minta kerajaan untuk kawal harga makanan ternakan tetapi ia terus berlaku dan ini memerlukan tindakan segera oleh kerajaan,” katanya dipetik Utusan.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir ke Rumah Sembelih Ruminan Besar Sumobek Sdn. Bhd. di Kampung Melayu Panchor, di sini hari ini.