Harga getah sekerap meningkat, penoreh kembali bersemangat

Harga getah sekerap meningkat, penoreh kembali bersemangat

Keadaan cuaca yang cerah dan dengan kenaikan harga getah mendorong penoreh di Kelantan kembali bersemangat untuk menoreh.

Musim tengkujuh yang bermula Oktober lepas yang membawa bersama hujan menyebabkan negeri ini dilanda banjir telah menghalang mereka untuk menoreh walaupun harga getah ketika itu menunjukkan trend positif.

Menurut Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kelantan Rosli Yaakob, harga getah sekerap di peringkat ladang di negeri ini kini antara RM4 hingga RM5 sekilogram.

“Harga getah sekerap (SMR 20) kini menunjukkan trend semakin menaik dan diharap akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penoreh untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau menggalakkan penoreh menjual terus hasil getah mereka itu di pusat pengumpulan Risda di kawasan masing-masing untuk mendapatkan harga yang lebih baik berbanding dengan orang tengah.

Terdapat kira-kira 48,000 pekebun kecil getah di negeri ini yang kebanyakannya bertumpu di Jajahan Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Jeli.

Tinjuan Bernama di kawasan tanaman getah sekitar Tanah Merah mendapati rata-rata penoreh bersemangat untuk menoreh sambil berharap harga getah akan terus naik.

Seorang penoreh getah Shafii Yusoff, 71, Kampung Padang Siam di sini, kembali semula menoreh di kebun getahnya seluas 0.8 hektar sejak dua hari lepas setelah keadaan banjir pulih dan tiada hujan.

“Kali terakhir saya menoreh dan menjual getah sekerap tiga bulan lalu dengan memperoleh RM300 dalam tempoh empat hari menoreh. Ketika itu harga getah sekitar RM2 hingga RM3 sekilogram,” katanya sambil berharap harga getah akan terus meningkat.

Mariam Muhamood, 60, dari Kampung Padang Siam, bersyukur dengan kenaikan harga getah tersebut kerana ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya.

“Jika sebelum ini, saya hanya mampu meraih sekitar RM200 seminggu untuk 100 kilogram getah sekerap yang dijual, namun dengan kenaikan harga getah, ia akan menambah pendapatan saya.

“Saya berharap harga getah ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan untuk membeli keperluan lain dan menampung perbelanjaan keluarga ketika tibanya musim hujan,” katanya.

Kenaikan harga getah mendorong sesetengah individu menjadikan kerja menoreh sebagai pekerjaan sampingan. Gambar hiasanSementara itu, seorang pembeli getah berlesen, Awang Hamid, 45, berkata peningkatan harga komoditi tersebut turut memberikan kegembiraan kepada golongan pembeli getah.

“Sebelum ini, pembelian getah sekerap hanya sekitar tiga hingga empat tan seminggu, namun selepas kenaikan harga getah sehingga mencecah RM4.25 sekilogram sekarang, jumlah pembelian mencecah kepada tujuh hingga lapan tan (seminggu).

“Ada penoreh tidak mempunyai kenderaan dan yang telah berumur dan tidak mampu mengangkut guni getah yang berat itu, jadi saya mengupah anak-anak muda untuk membawa hasil ke rumah saya yang dijadikan tempat menyimpan getah pekebun di sini sebelum dijual kepada kilang lebih besar,” katanya.