Harga gula turun 10 sen pada 1 September

Harga gula turun 10 sen pada 1 September

Harga kawalan gula turun sebanyak 10 sen sekilogram (kg) berkuat kuasa 1 Sept, menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika mengumumkan langkah itu hari ini berkata ia selaras dengan trend penurunan harga gula di pasaran dunia.

Katanya langkah sama turut dilaksanakan di beberapa negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand dengan harga gula di Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini.

“Kerajaan juga prihatin terhadap isu kos sara hidup rakyat yang antara lain turut disumbangkan oleh peningkatkan harga beberapa barangan keperluan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian, hari ini, lapor Bernama.

Saifuddin Nasution berkata langkah itu diharapkan dapat mengurangkan jangkaan kesan berangkai (multiplying effect) ke atas harga makanan dan minuman di pasaran.

Menurut Saifuddin, kali terakhir harga gula disemak ialah pada 1 Mac 2017, naik 11 sen daripada RM2.84/kg kepada RM2.95/kg.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penurunan harga gula tidak bermakna kerajaan menyokong pengambilan gula berlebihan dan berharap rakyat terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada 2016, katanya seramai 3.6 juta atau 17.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan angka itu akan terus meningkat sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

“Pengambilan gula pada kadar munasabah bukan sahaja mampu menyelamatkan seseorang itu daripada penyakit, malah rutin ini boleh menjimatkan perbelanjaan harian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan keputusan kerajaan menyusun semula struktur beberapa kementerian dengan empat agensi di bawah KPDNHEP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Koperasi Malaysia, Bank Rakyat dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah maklumkan secara bertulis keputusan itu kepada saya…langkah ini berkuatkuasa pada tarikh tarikh surat itu ditulis beberapa hari lepas,” katanya.

Saifuddin berkata KPDNHEP akan kekal dengan tiga agensi iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyC