Harga istimewa tiket penerbangan Sabah, Sarawak buat mahasiswa akan diumumkan

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan akan mengumumkan harga istimewa tiket penerbangan kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung serta pelajar dari Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata walaupun terdapat penambahan jumlah penerbangan dan kapasiti pesawat yang lebih besar, ia masih tidak dapat menampung permintaan yang tinggi.

“Untuk pulang sambut Hari Raya Aidilfitri, ketika ini hanya tinggal tiket kelas perniagaan dengan harga tinggi … kita akan ada perancangan untuk pelajar (membeli tiket) dengan subsidi kerajaan,” katanya.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan Prasarana Malaysia Berhad di sini hari ini.

— BERNAMA

Baca juga: Masyarakat perlu berhati-hati dengan pinjaman mudah ketika Aidilfitri