Malaysia Dateline

Harga kit ujian kendiri Covid-19 masih mahal untuk B40

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, harga runcit maksimum bagi set kit ujian kendiri Covid-19 yang ditetapkan pada harga RM19.90, adalah masih mahal terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah B40.

Beliau berkata, kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi subsidi pada harga kit ujian kendiri Covid-19 supaya ianya mudah didapati oleh orang ramai.

Beliau juga mencadangkan agar harga kit ujian kendiri Covid-19 diturunkan sehingga RM10 bagi setiap set kit.

“Itulah sebabnya saya mendesak kerajaan untuk mengambil langkah ekstra dengan mensubsidi harga kit ujian diri Covid-19 agar ianya dapat diakses oleh orang ramai. Ini kerana kita mahu memudahkan mereka menerimanya sebagai sebahagian dari norma baru.

“Terutamanya sebagai salah satu langkah penting untuk membuka semula ekonomi kita secara aman dan lestari,” katanya dalam satu hantaran Facebook malam tadi.

Pada masa sama Kelvin berkata, harga bersubsidi seperti itu juga akan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengurangkan jangkitan di kawasan tempat kerja.

Katanya, PKS selama ini terpaksa bergelut dengan ekonomi yang perlahan, justeru kerajaan perlu meringankan beban mereka sambil menggalakkan ‘amalan selamat’ supaya mereka membiasakan budaya ‘pengujian yang kerap’ untuk memastikan ekonomi terus berjalan.

Beliau juga berharap agar kerajaan dapat mengurangkan birokrasi dalam proses penilaian untuk meluluskan kit ujian kendiri yang memenuhi syarat yang diperlukan.

“Apabila lebih banyak jenama kit ujian di pasaran, ini akan mendorong persaingan. Harga akan menurun setelah diborong secara besar-besaran terutama ketika permintaan meningkat kerana kerajaan membiasakan budaya membuat ujian kerap.

“Dari situ kerajaan boleh melihat pemberian subsidi lebih jauh sehingga menjadikannya di bawah RM10 untuk menjadikannya berpatutan dan mudah diakses,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, penting bagi kerajaan untuk memastikan kit ujian kendiri yang dijual di pasaran adalah terbukti keberkesanannya.

Kerajaan disaran membuat penguatkuasaan yang diperlukan untuk memastikan kit yang dijual di pasaran adalah asli dan diluluskan oleh Lembaga Peranti Perubatan Malaysia (MDA).