Harga makanan ikan tinggi punca pengeluaran ikan sangkar terhad

 

 

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diharap dapat mewujudkan satu skim harga makanan ikan berikutan harganya yang kini tinggi di pasaran hingga mempengaruhi harga ikan di pasaran.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata situasi itu menimbulkan kesulitan kepada penternak ikan khususnya penternak ikan sangkar kerana terpaksa mengecilkan skala ternakan ikan akibat masalah itu.

Saya ada menerima rungutan daripada penternak ikan khususnya di kawasan Tasik Kenyir yang mana harga makanan ikan tinggi menyebkan mereka tidak ingin beroperasi secara besar-besaran.

Situasi ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi para penternak kerana mereka berkeinginan membesarkan pengeluaran ikan yang diusahakan di sangkar-sangkar di Tasik Kenyir ini, katanya.

Datuk Jailani Johari

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau permasalahan yang dihadapi penternak ikan sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, di sini.

Pengeluaran ikan sangkar Tasik Kenyir bermula pada tahun 2007 di bawah program Projek Berimpak Tinggi Rancangan Malaysia Kesembilan yang mana spesies ikan Tilapia Merah dikenali ‘Red Kenyir’ adalah hasil pengeluaran utama di Sungai Como, Tasik Kenyir.

Ia juga adalah sebahagian daripada Program Projek Berimpak Besar dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Januari 2007.

Sementera itu, seorang penternak, Mohd Zaki Mohd Zain, 58, berkata keadaan semasa menyebabkan beliau terpaksa melupakan hasrat untuk membesarkan sangkar ikannya.

“Jika adanya bantuan daripada kerajaan terutamanya pengurangan harga makanan palet ikan…saya tidak akan berfikir dua kali untuk membesarkan sangkar ikan saya.

“Saya boleh dikategorikan antara yang baru…saya bermula pada bulan April 2014 dengan menggunakan lima buah sangkar..lama kelamaan Jabatan Perikanan Terengganu memberi bantuan sangkar sebanyak 35 sangkar.

“Ada terlintas untuk menambah jumlah sangkar tetapi kos agak mahal…bayangkan untuk keseluruhan sangkar, saya membelanjakan RM67 bagi satu guni palet ikan dewasa dan RM70 bagi palet ikan kecil dalam satu hari,” katanya lagi.

Beliau yang mewakili suara nelayan ikan air tawar berharap ada usaha daripada kerajaan untuk mengurangkan harga makanan ikan.

“Kita tidak minta banyak…tapi sedaya mungkin untuk meringankan beban perternak-penternak seperti kami ini.

“Bila sangkar semakin besar, ikan pun semakin banyak dan tilapia ‘Red Kenyir’ sudah dikenali ramai kerana sumber airnya yang bersih dan kita boleh pergi jauh,” katanya.