Harga minyak jatuh: Amanah gesa semak Bajet 2016

Parti Amanah Negara menggesa kerajaan menyemak semula Bajet 2016 ekoran pendapatan kerajaan dilihat lari jauh daripada sasaran sebenar akibat situasi semasa kejatuhan harga minyak mentah dunia.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan segera melakukan persediaan bagi tujuan semakan semula Bajet 2016 yang dilihat lari jauh daripada sasaran pendapatan sebenar ekoran situasi semasa kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hal itu perlu dilakukan jika harga minyak mentah global yang rendah itu berlarutan atau menjunam seperti diramalkan pihak kewangan antarabangsa baru-baru ini.

“Harga minyak mentah Brent sedang diniagakan pada paras AS$32 hingga AS$36 setong diramalkan akan terus turun ke paras AS$20 setong oleh bank pelaburan global, Goldman Sachs dan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa).

“Andainya minyak mentah turun ke paras AS$20 setong maka pendapatan kerajaan dari bayaran dividen Petronas akan terjejas teruk, sekaligus menyebabkan defisit fiskal kerajaan yang sedang diturunkan ke paras 3.0 daripada 3.2 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) pada tahun 2015, akan melonjak dua kali ganda ke 6.7 peratus KNDK.

“Ini adalah sangat munasabah sebab anggaran pendapatan dividen dari Petronas dibuat dalam Bajet 2016 adalah pada harga AS$48 satu tong! Itu pun kalau mengandaikan tidak ada Bajet Tambahan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, ekonomi negara pula dijangka berdepan dengan kemelesetan pada suku ketiga tahun ini dengan berlakunya penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika impak kejatuhan harga mintah mentah global.

“Ini telah kami ramalkan, justeru kami mahu kerajaan pertingkat kecekapan perbelanjaan dan tentukan keutamaan belanjawaan kepada sektor penting dan kurangkan kos pengurusan seperti peruntukan di JPM (Jabatan Perdana Menteri) yang diberi RM14 bilion.

“Ramalan dan prospek ekonomi sangat suram dan masalah persepsi pelabur terhadap Malaysia masih gagal ditangani kerana isu RM2.6 bilion dan RM43 juta masih belum digarap secara tuntas dan muktamad,” tegasnya.

golongan B40 sengsara

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menyifatkan tahun 2016 sebagai tahun penuh mencabar dan sengsara kepada majoriti rakyat negara ini lebih-lebih lagi golongan isi rumah 40 peratus berpendapatan terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“BR1M hanya tambah RM50 setahun ketika setiap hari nilai duit yang jatuh ‘diragut’ melalui GST. Ibarat untung secupak, rugi seguni bukan segantang. Walau apapun angka inflasi yang diberi oleh Jabatan Statistik tentang CPI (Indeks Harga Pengguna), rakyat tahu segala kos sudah naik menggila akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Kenaikan kos pengangkutan awam seperti ERL, LRT, Komuter dan monorel serta kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya kesemuanya sedang menjerut rakyat. Kejutan turut berlaku ketika membeli pakaian dan kelengkapan untuk anak bersekolah. Harga semuanya naik mendadak belum lagi harga ikan dan sayuran yang juga melambung,” ujarnya lagi.

TAGS