Harga minyak: Kerajaan tidak berhati perut

Harga minyak: Kerajaan tidak berhati perut

Pemuda AMANAH Nasional menganggap kerajaan Barisan Nasional seolah-olah tidak berhati perut, sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak tanpa rasa kasihan belas.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, minggu ini mencatatkan harga minyak paling tertinggi sejak mekanisme penetapan harga mingguan diperkenalkan kerajaan.

Mohd Sany Hamzan

“Biarpun ramai yang membantah dan melahirkan kekecewangan sebelum ini, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak langsung tidak rasa simpati sebaliknya terus bertindak menaikkan harga minyak pada minggu ini.

“Dalam tempoh perbahasan Bajet 2018 sedang berlangsung, yang kononnya bajet terbaik dalam sejarah negara, kerajaan tetap tidak rasa bersalah untuk ‘menjerut’ rakyat dengan menaikkan harga minyak yang merupakan keperluan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata Mohd Sany, rakyat ketika ini hidup dalam keadaan yang cukup mencabar dengan bebanan kos kehidupan yang semakin meningkat terutama selepas perlaksanaan cukai GST.

Kerajaan katanya lagi, seolah-olah tidak puas untuk membebankan rakyat dengan cukai GST, mereka terus menghimpit rakyat dengan pelbagai kenaikan dan pemotongan subsidi seperti subsidi minyak.

Sehubungan itu katanya, Pemuda AMANAH Nasional mengajak seluruh rakyat khususnya golongan muda untuk terus membantah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

“Pemuda AMANAH akan meneruskan flashmob di seluruh negara bagi sama-sama memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa pentingnya membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Pakatan Harapan meletakkan azam untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 100 hari pemerintahan apabila mendapat mandat oleh rakyat dalam PRU14 nanti.

“Pakatan Harapan akan menstabilkan harga minyak dengan kadar yang tidak membebankan rakyat sesuai dengan Malaysia selaku negara pengeluar minyak,” kata beliau.

Jelas Mohd Sany, rakyat punyai hak serta kuasa untuk membantah dan Pemuda AMANAH Nasional yakin kerajaan sangat gentar sekiranya rakyat bangkit menentang tindakan bobrok yang dilakukan mereka.

“Ayuh tunjukkan kuasa kita, tolak kerajaan kleptokrasi pada PRU14 nanti,” serunya.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES