Malaysia Dateline

Harga minyak mentah Brent dijangka berada pada purata US$60 setong pada 2019

Harga penanda aras minyak mentah Brent dijangka berada pada purata US$60 setong, dalam jajaran dagangan US$55 hingga US$65 setong pada 2019, kata Kenanga Research hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata dengan harga minyak perada pada paras lebih rendah, aliran kerja akan datang daripada bahagian berkaitan perbelanjaan operasi dan lapangan minyak lama dengan projek lapangan minyak baharu menjadi kurang menarik dari segi ekonomi.

Dalam tinjauan aktiviti terbaharunya, Kenanga berkata Petronas membayangkan kemungkinan aktiviti yang giat dalam penggerudian, penyewaan kapal dan penyenggaraan yang memberi manfaat kepada pemain seperti Velesto Energy Bhd, Alam Maritim Resources Bhd dan Serba Dinamik Holdings Bhd.

“Sementara itu, kajian kami juga menunjukkan semasa tempoh tidak menentu ini, asas pendasar syarikat memainkan peranan penting dalam menentukan penilaian dagangannya.

“Sekiranya sentimen atau harga minyak bertambah baik, kajian kami menunjukkan kemungkinan peluang strategi pelaburan dalam Dayang Enterprise Holdings Bhd, Sapura Energy Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) danUzma Bhd,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Bagaimanapun, Kenanga percaya tekanan kos akan masih berterusan dan justeru, terdapat keperluan bagi penyedia perkhidmatan untuk terus kekal kompetitif.

Dengan 2018 menjadi tahun yang tidak menentu bagi harga minyak mentah dan juga saham, penilaian bagi kaunter minyak dan gas akan lebih rapat sejajar dengan asas kewangan, berbanding tahun-tahun yang lebih stabil sebelum ini seperti 2013-2014.

“Justeru, kami percaya dalam tempoh yang amat tidak menentu ini, asas seperti pulangan bagi ekuiti memainkan peranan lebih penting dalam menentukan penilaian dagangan saham, berbanding ketika sentimen pasaran atau harga minyak yang lebih stabil,” kata firma penyelidikan itu.

— BERNAMA