Malaysia Dateline

Harga minyak tidak menentu punca kos barang keperluan naik

Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Mohd Ithnin

Pemuda AMANAH Nasional bimbang kedudukan harga bahan api yang tidak menentu akan mengundang kenaikan kos barang keperluan.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berpendapat situasi makin buruk apabila rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April 2015 tidak dimansuhkan.

“Tidakkah beliau sedar bahawa selagi harga minyak terus tidak menentu seperti sekarang, ia akan terus membuka ruang untuk kenaikan harga barang-barang keperluan lain?

“Sudahlah GST gagal dihapuskan, memang Dato’ Seri Najib Razak mahu rakyat terus susah, atau bagaimana?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenaikan 4 sen untuk RON95 dan RON97, beliau berkata, kenaikan tersebut menggambarkan bajet kleptokrasi yang dibentangkan tidak sampai seminggu itu sama sekali tidak mempunyai mekanisme utuh bagi menstabilkan harga minyak.

Walaupun pembentangan Bajet 2018 diuar-uarkan sebagai ‘Ibu Segala Bajet’, ujarnya, tetapi langsung tiada langkah untuk memastikan kos bahan api kekal rendah dan tidak membebankan pengguna.

“Malah, kegagalan YAB Perdana Menteri untuk mengecilkan peruntukan di Jabatan Perdana Menteri hingga mencecah RM17.4 billion telah mengeringkan dana negara,” katanya.

Walhal, jelasnya, wang sebanyak itu boleh dimanfaatkan untuk mengembalikan subsidi dan menubuhkan Tabung Khas bagi memastikan harga minyak kekal rendah dan stabil.

“Adakah agensi-agensi di bawah jabatan beliau jauh lebih penting daripada menangani kepayahan rakyat?

“Jelas bahawa YAB Menteri Kewangan itu juga langsung tidak menitikberatkan mekanisme penting bagi mengawal harga bahan api,” tegas Shazni lagi.