Harga minyak tidak naik 9 minggu pasti boleh terus kekal, kata calon PH

Harga minyak tidak naik 9 minggu pasti boleh terus kekal, kata calon PH

Dr Zaidi (dua dari kiri) menyantuni masyarakat  dalam siri kempennya mendekati pengundi di Kepala Batas.

Agak pelik dan menghairankan apabila harga minyak petrol yang senantiasa naik setiap minggu, namun begitu sejak sembilan minggu berturut-turut sehingga ke hari ini, ianya statik dan tidak berubah.

Bertambah aneh apabila, ia dijangka kekal tidak naik sehingga hari pengundian pada 9 Mei minggu depan.

Sekiranya kedudukan ini berterusan sudah pasti ia amat menguntungkan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

Demikian dinyatakan oleh calon Pakatan Harapan Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria ketika ditemui selepas ‘walkabout’ sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas pagi tadi.

“Seandainya harga minyak tersebut boleh statik dan tidak naik sehingga sembilan minggu, sudah pasti ia boleh dibiarkan kekal lebih lama lagi tanpa ada sebarang kenaikan.

“Secara tidak langsung ia membuktikan kebenarannya bahawa kerajaan boleh mengawal harga minyak.

“Kedudukan ini turut memperlihatkan bagaimana dakwaan yang mengatakan harga minyak ditentukan oleh sentimen dan pasaran antarabangsa semata-mata adalah tidak benar,” ujarnya lagi.

Semasa program ‘walkabout’ di Permatang Kuang pagi tadi.

Malah katanya, sekiranya selama sembilan minggu harga minyak naik berturut-turut besar kemungkinan BN akan ‘balik awal’ dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kali ini.

“Tidak dapat dinafikan harga minyak yang kekal tidak naik sehingga ke hari ini mempunyai hubung kait dengan PRU ke 14 kali ini.

“Sekaligus ia mengiyakan segala persoalan yang bermain difikiran rakyat bahawa kerajaan boleh menaik dan menurunkan harga minyak.

“Oleh kerana itu, agak menghairankan kenapa kedudukan harga minyak tersebut tidak statik dan bergerak sebelum ini, ” tanya beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus sedar dan buka mata mengenai setiap langkah yang diambil oleh kerajaan berkaitan harga minyak.

“Jangan biarkan rakyat dibohongi lagi dengan pelbagai dakwaan yang tidak munasabah.

“Sebagai sebuah kerajaan seharusnya kepentingan, beban dan keperluan rakyat diberi pioriti.

“Namun begitu apa yang sedang dipaparkan menunjukkan bahawa kerajaan tidak prihatin dan peduli mengenai beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,”jelasnya lagi.

Rentetan itu tambahnya, kerajaan Umno dan BN sudah terbukti mengambil kesempatan di atas kesulitan rakyat.

Maka itu katanya, pimpinan sedemikian tidak harus diberi mandat sekali lagi untuk terus memimpin negara.

Tegasnya lagi, tidak mustahil harga minyak akan mulai berubah dan menjadi satu lagi beban besar yang akan ditanggung oleh rakyat seandainya BN terus menang dalam PRU yang akan datang.

5.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 1.0
CATEGORIES
TAGS