Malaysia Dateline

Harga minyak turun bukti kerajaan PH telus, prihatin

Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan menurunkan harga petrol dan diesel hari ini merupakan satu langkah positif untuk membuktikan ketelusan kerajaan dalam memastikan harga petrol mengikut mekanisme yang ditetapkan dan segera dilaksana apabila berlaku penurunan harga minyak dunia.

Menurut Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan langkah ini juga menunjukkan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan begitu prihatin dengan keadaan semasa yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos pengangkutan selepas diskaun sebanyak 18 peratus tol lebuhraya PLUS seluruh negara dilaksanakan.

Dengan penurunan harga petrol dan diesel ini, harga RON95 berada pada harga RM 2.04 berbanding RM 2.08 sebelum ini.

Bagi diesel pula harga turun 10 sen menyaksikan harga seliter menjadi RM 2.08. Bagi RON97 pula harga turun kepada RM2.34 berbanding RM 2.41 sebelum ini.

Kerajaan turut memberi jaminan untuk menetapkan harga siling RON95 pada paras RM 2.08 seliter dan diesel pada harga RM 2.18 seliter.

“Penetapan harga siling ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan yang komited memastikan kestabilan harga runcit produk petroleum demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” kata beliau.

Di samping itu, katanya yang juga Adun Taman Tampler,  peruntukan sebanyak RM 6 bilion untuk subsidi petrol pada tahun lalu juga menunjukkan kepentingan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Pakatan Harapan.

“AMANAH mengucapkan tahniah atas pengumuman ini dan diharapkan seluruh rakyat Malaysia dapat memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Pakatan Harapan dalam melunaskan komitmen manifesto dari semasa ke semasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Hari ini, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 turun sebanyak empat sen seliter kepada RM2.04, RON97 turun tujuh sen seliter kepada RM2.34 dan harga runcit diesel juga turun 10 sen kepada RM2.08 seliter.

Harga runcit produk petroleum tersebut untuk tempoh 8 Feb hingga 14 Februari berikutan penurunan harga minyak global.

Subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) yang dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM6 bilion pada tahun lepas.