Malaysia Dateline

Harga minyak turun: Kerajaan harus pantau harga barang keperluan tidak melonjak naik

Abdullah Mohd Nor

Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras) menyarankan agar pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang harus dilaksanakan secara serius sekiranya harga minyak tidak naik dalam usaha mengawal harga barangan keperluan harian.

Timbalan Pengerusi Abdullah Mohd Nor berkata,Teras mengalu-alukan penetapan harga minyak RON95 pada harga RM2.20 seliter dan diesel pada harga RM2.18 seliter oleh kerajaan mulai Januari 2019 kerana banyak membantu khususnya golongan sederhana dan berpendapatan rendah.

“Harga barangan keperluan harian seperti beras, minyak, gula, susu dan seumpamanya mesti diberi perhatian.

“Pemantauan wajib dilaksanakan apabila harga minyak tidak naik sepertimana yang berlaku pada zaman kerajaan BN dahulu.

“Penguatkuasaan undang-undang juga harus diaktifkan dengan rutin bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, ” tegas beliau.

Abdullah yang mempunyai pengalaman sebagai salah seorang usahawan stesen minyak selama 10 tahun berkata, cadangan untuk menetapkan harga siling merupakan suatu usaha yang positif dan mampu memberi pulangan yang baik kepada rakyat.

Malah ujarnya, sekiranya ini dapat dilaksananakan maka ia akan turut mempengaruhi kos harga barangan keperluan.

“Yang pasti kerajaan mesti memantau setiap peniaga maupun peruncit setelah harga minyak tidak naik atau berada pada paras harga yang rendah.

“Barangan keperluan harian yang lain seharusnya tidak dinaikkan dan melonjak kerana ia tidak membabitkan penggunaan petrol yang tinggi.

“Rentetan itu keseriusan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang oleh kementerian terlibat mampu untuk membantu harga barangan keperluan tidak naik, ” ujarnya.

Tambahnya lagi, seandainya ini dapat direalisasikan sudah pasti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan PH melonjak sehingga memperlihatkan perbezaan antara pentadbiran kerajaan kini dengan kerajaan BN sebelum ini.