Ahli Parlimen Umno diberikan ingatan, harga diri mereka boleh jatuh menjunam dalam pilihan raya umum ke 15 nanti jika tidak dicalonkan oleh parti.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi memberikan amaran itu ketika penjualan SD (akuan berkanun) sekarang menjadi perniagan yang lumayan.
Ini kerana, menjadi tradisi semua parti, presiden parti akan menandatangani watikah perlantikan sebagai calon parti masing-masing. Hanya watikah yang ditandatangani oleh presiden atau wakil parti yang sah sahaja yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika hari penamaan calon.
Menurut Puad, Harga SD (akuan berkanun) para Ahli Parlimen (MP) sedang meningkat naik sekarang ekoran desas desus kerana Perikatan Nasional akan jatuh.
“Tetapi jangan lupa. Harga mereka seperti bursa saham. Boleh jatuh menjunam bila tidak lagi dicalonkan dalam pilihanraya ke 15,” kata Puad, bekas timbalan menteri kerajaan BN dahulu itu.
Beliau memberikan ingatan, agar mereka jangan memjual mahal sangat.
“Kita tunggu Parlimen bersidang. Apakah harga mereka melambung mahal,” tanya beliau.
Puad bertanya, betulkah harga ahli Parlimen semakin mahal?
“Kononnya mereka jual mahal. Keputusan parti sering ditolak tepi,” katanya.
Setiap akuan bersumpah (SD) yang mereka tanda tangan ada harganya dan untungnya, “Kenapa ini berlaku?” tanya beliau.
Katanya, ia menjadi jadi sejak kerajaan PH 22 bulan tumbang ekoran “langkah Sheraton”.
“Timbul budaya SD. Semua parti mengejar SD,” katanya.
Kewujudan “kluster katak” juga jadikan harga seorang ahli Parlimen menjadi mahal.
Ini kerana semua yang melompat dapat jawatan Menteri, kata beliau.
Apatah lagi apabila terbentuknya kerajaan PN, ia adalah kerajaaan dokongan ahli Parlimen bukan parti.
Dalam sistuasi itu, Umno paling terkesan.
“MP UMNO nampak macam tidak takut atau rasa terikat dengan keputusan parti, BN dan BNBBC,” kata beliau.
Apabila timbul cerita kerajaan hari ini tiada majoriti, sudah tentu SD mereka penting dan semakin mahal, katanya.
Bagi beliau, Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang merasakan keputusan di tangan mereka sama ada kerajaan PN boleh kekal selepas 1 Ogos.
“Sebab itu tidak hairan apabila Nazri mengaku secara terbuka dia adalah dalang kepada SD 25 MP UMNO yang sokong Hishamuddin,” kata beliau merujuk kepada Menteri Luar yang dikatakan akan dicalonkan sebagai perdana menteri.