Malaysia Dateline

Harga petrol, diesel kekal sehingga 2 Januari

Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan pada paras RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter buat masa beberapa hari ini, sehingga pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, yang akan bermesyuarat pada 2 Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan memastikan harga yang paling optimum dan penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baharu 2019.

“Kerajaan PH komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

Katanya pengekalan harga pada paras itu dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran. – Bernama