
Harga RON 97, 95 naik 10 sen, diesel terus kekal
Bermula 12.01 tengah malam nanti harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik sebanyak 10 sen untuk tempoh seminggu sehingga 1 Mac ini.
Manakala harga diesel pula terus kekal. Ini bermakna, harga RON95 naik kepada RM2.08 berbanding RM1.98 seliter minggu lalu. Bahan api RON97 juga naik daripada RM2.28 kepada RM2.39 seliter. Manakala diesel pula kekal pada RM2.18 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan peningkatan harga runcit petrol RON95 didorong oleh faktor peningkatan purata kos produk diproses (refined product) di pasaran dunia berbanding minggu sebelumnya.
Katanya sebelum ini harga komoditi itu ialah AS$63.11 setong sebelum meningkat kepada AS$66.91 setong.
Bagi produk diesel, kata kenyataan dikeluarkan itu, kos purata produk diproses turut meningkat secara ketara iaitu daripada AS$74.38 setong kepada AS$79.11 setong.
“Sepatutnya harga runcit diesel adalah sebanyak RM2.33 seliter. Namun selaras dengan janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel sekiranya harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan – iaitu RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel – maka harga runcit diesel bagi tempoh 23 Februari 2019 sehingga 1 Mac 2019 terus dikekalkan pada paras RM2.18 seliter,” katanya.