Malaysia Dateline

Harga RON95, diesel kekal untuk tempoh dua minggu sempena Aidilfitri

Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel untuk tempoh dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun sempena Aidilfitri ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memaklumkan, harga runcit petrol RON95 yang sepatutnya RM2.33 seliter, kekal pada paras RM2.08 seliter manakala harga runcit petrol bagi RON97 turun sebanyak RM0.13 sen seliter iaitu daripada RM2.76 seliter kepada RM2.63 seliter.

Beliau berkata, harga runcit diesel yang sepatutnya RM2.40 seliter juga dikekalkan pada paras RM2.18 seliter.

“Berdasarkan pengiraan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak, RM2.33 (RON95) dan RM2.40 (Diesel)

“Namun harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan kepada RM2.08 seliter (RON95) dan RM2.18 seliter (Diesel) selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit petroleum.

“Bagaimanapun, tempoh pengekalkan harga petrol ini akan sah untuk tempoh dua minggu sahaja. Selepas 14 Jun ini, penetapan harga runcit petroleum ini akan kembali kepada asal dan penetapan harga dibuat secara mingguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng memaklumkan, anggaran subsidi yang perlu ditanggung pihaknya bermula esok sehingga 14 Jun, adalah berjumlah RM165.27 juta.