Malaysia Dateline

Harga RON95 naik: Komunikasi perlu jelas antara kerajaan, rakyat

Kenaikan harga RON95 sebanyak satu atau dua sen setiap minggu bermula tahun hadapan memerlukan hubungan komunikasi yang baik dan jelas antara pihak kerajaan dan rakyat.

Penggerak GERTAK Malaysia, Abbas Azmi berkata, kerajaan perlu mendengar kerisauan rakyat dan rakyat pula pada masa sama perlu memahami penyelesaian dan pandangan kerajaan.

“Jika tidak ada kebersamaan dan masih berlaku kelompongan komunikasi akan menyebabkan isu kenaikan harga minyak ini akan menjadi tragedi kepada kedua-dua pihak.

“Kerajaan dan rakyat berpisah tiada. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Abbas Azmi

Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dalam Dewan Rakyat memberitahu harga RON95 akan diapungkan secara berperingkat iaitu dua sen atau satu sen seminggu, sehingga harga RON95 sampai harga pasaran sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) bermula.

Menurut Chieng Jen, keputusan itu dibuat untuk meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan naik secara mendadak.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, situasi penyelesaian bersifat menang-menang perlu memandangkan kos sara hidup sangat dekat dengan rakyat dan memberi kesan kepada pengurusan kerajaan.

“Kesan kepada rakyat akan menyebabkan kesukaran rakyat menguruskan kehidupan dan telah terbukti kesusahan rakyat pada zaman BN Najib Razak.

“Dan rakyat tiada jalan lain untuk menyuarakan ketidakpuashatian kecuali di peti undi.

“Kerajaan pula dalam keadaan yang sukar. Terpaksa berhadapan dengan jumlah hutang negara yang besar, kesan ekonomi global, harga minyak naik dan turun yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini adalah menjaga kepentingan dan mengurus dana negara secara berhemah.