Malaysia Dateline

Harga runcit kit ujian pantas antigen RM19.90 mulai 5 September

Berkuatkuasa 5 September ini, harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), penentuan harga itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling itu bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“Penentuan harga dibuat berdasarkan maklumat harga daripada pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

“Begitu juga, maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexander turut memberi amaran, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

“Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Hal sama mengenai harga siling RTK Antigen itu turut dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui akaun Twitter beliau.