Malaysia Dateline

Harga runcit RON95 kekal pada harga RM2.08, RON97 pula naik 5 sen

Harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal pada harga seperti minggu lepas iaitu masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.

Bagaimanapun pada minggu ini harga runcit RON97 naik sebanyak 5 sen seliter menjadi RM2.43 seliter daripada RM2.38 seliter.

Harga terbaru bagi tempoh 2 Mac hingga 8 Mac 2019 akan berkuatkuasa bermula tengah malam ini.

Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan hari ini juga memaklumkan bahawa had pengekalan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 telah dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Februari 2019.

“Pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM (Mekanisme Harga Automatik), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 2 Mac 2019 sehingga 8 Mac 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.13 seliter dan RM2.38 seliter masing-masing.

“Namun begitu, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter,” kata kenyataan itu.