Malaysia Dateline

Harga saham: Di antara potensi dan kecairan

Di dalam urusniaga, kepatuhan dari segi Shariah bukan sahaja bergantung kepada jual beli perkara yang halal tetapi kena juga elak perkara haram seperti riba, judi dan gharar.

Jika mahu meminta pandangan Shariah berkenaan jualbeli saham atau instrumen kewangan yang lain, tanyalah kepada agamawan yang betul-betul faham berkenaan pasaran modal, bukan main tanya-tanya kepada yang berjubah dan berserban sahaja.
Manfaat memiliki saham ada 2:

  1. Mendapat dividen apabila perniagaan yang mana sahamnya membuat keuntungan dan memulangkan sebahagian dari keuntungan itu kepada pemegang saham secara tunai atau pun saham bonus
  2. Mendapat keuntungan modal apabila saham yang dipegang dijual
    Untuk mencari saham-saham yang berpotensi membayar dividen, kita kena halusi beberapa perkara seperti industri yang diceburi, strategi serta arah tuju perniagaan, kualiti pengurusan serta tadbir urus dan juga perkembangan ekonomi secara am. Dari situ, anggaran harga dibuat. Ini dipanggil analisa fundamental. Bila nak membeli dan menjual saham pula, ada orang yang menganalisa arah tuju pasaran, jumlah permintaan dan penjualan dan banyak perkara teknikal lagi. Ini dipanggil analisa teknikal.

Ada pelabur yang membeli dengan melihat kepada fundamental dan menjual apabila harga saham sudah melebihi anggaran harga. Ada juga orang yang membeli dan menjual semata-mata di atas dasar teknikal. Bagi sayalah, kumpulan kedua ini kena bertanya kepada agamawan yang faham samada perkara ini sesuai dengan Shariah.

Harga saham di bursa bukan semata-mata ditentukan oleh asas-asas atau fundamental syarikat. Jumlah tawaran belian dan jualan juga memainkan peranan. Lagi tinggi bidaan untuk membeli dan menjual, lagi tinggi kemungkinan harga akan berubah. Ini dipanggil kecairan (liquidity). Inilah sebabnya banyak kaunter saham yang mana perniagaannya rugi atau untung sedikit sahaja tetapi harganya tinggi melangit dan dijualbeli setiap hari.

Kita semua tentunya boleh fikirkan bahawa asas-asas perniagaan tidak berubah setiap hari. Jadi, pengaruh sentimen dan kecairan adalah faktor yang besar mempengaruhi harga saham. Apabila jual beli tidak bergantung kepada fundamental, ditakuti unsur-unsur judi dan gharar sudah wujud. Ada juga yang menggunakan kaedah leverage (beli guna hutang dengan mencagarkan saham dan jual cepat-cepat di dalam masa yang singkat).

Ini belum sebut berkenaan penipuan serta salahguna pasaran (market abuse) dan juga penggubahan wang haram (money laundering) yang berlaku tanpa disedari oleh ramai pemain-pemain kecil yang menganggap kesemua orang yang ada di dalam pasaran adalah orang yang baik-baik.

Kita ambil contoh matawang kripto, bagi saya nilainya adalah semata-mata disebabkan kecairan (ramai nak beli dan ramai nak jual) dan bukannya disebabkan apa yang dibeli dan dijual itu ada nilai. Memang konsep medium pertukaran (medium of exchange) itu ada tetapi siapakah pihak yang berkuasa yang menyelianya kerana matawang dalam konsep konvensional ada hubung kait dengan perkembangan ekonomi, inflasi dan juga kadar faedah (polisi kewangan atau polisi monetori).

Non-fungible token atau NFT sekurang-kurangnya ada “benda” yang dijual beli. Nilainya bergantung kepada kegilaan dan emosi sama seperti barang seperti beg tangan yang berharga ratusan ribu. Namun, apabila ianya dispekulasikan dengan gila-gila, akan sampai peringkat kita kena tanya di mana sempadan Shariahnya.

Kita hidup untuk mati. Apabila sudah mati, kesemua perbuatan kita akan dihisab oleh Allah. Jadi, eloklah diperhalusi apa yang kita lakukan sekarang. Bagi yang cari makan di pasaran saham, mendapat kejelasan dari perspektif Shariah amatlah penting.