Malaysia Dateline

Harga saham FGV lebih tinggi hasil tadbir urus korporat bertambah baik, kata Penganalisis

Penambahbaikan tadbir urus korporat, pasukan pengurusan baharu dan komunikasi yang berkesan adalah pemacu utama yang menyumbang kepada kenaikan harga saham FGV Holdings Bhd, kata penganalisis.

Beliau berkata syarikat itu berjaya mengurangkan defisit terasnya melalui tadbir urus korporat yang lebih baik, peningkatan produktiviti aset dan pelupusan aset tidak berbayar.

“Jika minyak sawit mentah (MSM) kekal pada paras tinggi sekarang (kini didagangkan melepasi RM2,500 setan), kita dapat melihat peningkatan drastik dalam prestasi kewangannya ,” katanya kepada Bernama.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, FGV melaporkan bahawa ia berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM262.41 juta pada suku ketiga 2019 (Q3 2019) daripada RM849.46 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM3.55 bilion berbanding RM3.19 bilion sebelumnya.

Menurut FGV saham meningkat tujuh sen kepada RM1.31 pada penutupan Khamis, dan meningkat kepada RM1.33, dengan 16. 95 juta saham bertukar tangan pada penutupan Jumaat.

Mengulas lanjut, penganalisis itu berkata tadbir urus korporat FGV telah meningkat ketara sejak tahun lepas.

Daripada keanggotaan ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada ahli politik aktif dan mereka yang ada kaitan dengan politik, kepada hanya dari kalangan bukan eksekutif bebas, sama ada profesional atau penjawat awam.

“Baru-baru ini, lembaga pengarah menyaman bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas pengarah – suatu tindakan yang tidak pernah berlaku dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya percaya pengurusan juga sedang dalam proses melaksanakan amalan korporat yang baik seperti sistem pengurusan antirasuah. Kesannya pelabur kini lebih yakin bahawa kepentingan mereka bukan sahaja selamat bahkan sangat penting,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan ahli pasukan pengurusan baharu adalah dari Sime Darby Bhd, dengan pengalaman luas dalam perladangan dan pengurusan, sambil menambah bahawa pasukan itu mengadakan pertemuan dengan pelabur institusi pada Q3 2018 untuk membentangkan rancangan pemulihan mereka.

“Mereka sangat agresif dengan sasaran untuk 2018 dan saya fikir ada keraguan pada awalnya.

“Walaupun sasaran pengeluaran tandan buah segar dan minyak sawit mentah (MSM serta hasil pada tahun 2018 tidak tercapai, angkanya melebihi sasaran kos pengeluaran MSM.

“Bagi 2019, mereka juga menetapkan sasaran yang tinggi, dan walaupun masih belum tercapai, kita sudah pun boleh melihat penambahbaikan beransjur-ansur,” katanya.

Penganalisis itu juga berkata peningkatan hasil pada Q3 2019 juga adalah hasil daripda komunikasi berkesan pengurusan FGV dalam pelan penyusunan semulanya.

Syarikat itu sudah keluar atau sedang dalam proses keluar untuk mengetepikan kepentingan dalam aset yang menjejaskan prestasinya.

Harga MSM juga bertambah baik, yang terus meningkatkan keuntungan syarikat,” kata penganalisis itu.

“Dengan harga MSM pada tahap ini, bersama pengeluaran, pulangan dan penambahbaikan kos, kewangan FGV dijangka pulih pada suku yang akan datang.

“Penilaian pada asas perusahaan mengikut nilai sehektar masih rendah dan pendapatan boleh meningkat secara mengejut pada tahun kewangan 2020.

“Kami mengharapkan penganalisis lebih positif ke atas FGV, untuk masa akan datang,” katanya.

Bgaimanapun, beliau berkata masih terdapat ruang untuk penambahbaikkan, terutama dari segi automasi, pertanian tanaman kontan, meningkatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus selain merasionalisasikan perniagaan gula.

“Namun jika produktiviti terus meningkat, rasionalisasi kos, telus dengan pelabur dan jika tahap harga MSM kekal atau lebih tinggi, saya yakin akan ada peningkatan ketara dari segi harga saham,” katanya.

Ditanya mengenai prospek sektor perladangan, beliau berkata industri minyak sawit ada kitarannya.

“Apabila harga merosot cukup rendah, penanam menghentikan aktiviti membaja dan menanam semula menyebabkan berlaku penurunan produktiviti dan bekalan.

“Selagi MSM terus menjadi minyak sayuran yang paling kompetitif, permintaan kekal mantap. Sudah tentu, ada faktor lain yang mempengaruhi harga MSM. namun pada masa ini saya yakin sektor ini akan meningkat secara menyeluruh,” katanya.

Seorang lagi penganalisis perladangan berkata sektor perladangan mempunyai unjuran positif, sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Selepas tahun yang lemah pada 2018-2019, kami menjangkakan 2020 akan menjadi tahun yang lebih baik bagi syarikat perladangan. Kami menjangkakan harga jualan purata bagi MSM lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019, didorong oleh peningkatan kadar pertumbuhan permintaan untuk produk sawit berbanding kadar pertumbuhan pengeluaran,” katanya.

Dalam notanya hari ini, RHB Research menaikkan saranan FGV kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran pada RM1.55, dengan berkata bahagian perladangan FGV dijangka pulih, namun sumbangan gula kekal rugi.

“FGV mengurangkan kerugian bersih terasnya pada Q3 2019, diluar daripada jangkaan kami, walaupun pendapatan masih di bawah konsensus.

“Kami menjangkakan pendapatan akan terus bertambah baik dalam keadaan harga MSM yang lebih tinggi. Bagaimanapun, pelupusan JV Trurich yang akan berlaku dan kepentingan dalam penapisan gula di Johor yang merugikan, akan menyebabkan peningkatan positif pendapatan,” katanya.– BERNAMA