Harga sawit, getah dijangka stabil beberapa tahun lagi

Harga sawit, getah dijangka stabil beberapa tahun lagi

Harga getah dan kelapa sawit telah mengalami sedikit peningkatan dan dijangka stabil untuk tempoh beberapa tahun lagi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Menurutnya, perkembangan terhadap harga kedua-dua komoditi itu merupakan hasil daripada beberapa keputusan Mesyuarat Kabinet.

“Hasil kerja kuat, kita mendapati harga sawit dan getah telah naik sedikit walaupun perlahan. Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan dan dalam tempoh beberapa tahun ini, harga komoditi tersebut dapat distabilkan.

“Kerajaan juga terus berusaha untuk pulihkan harga sawit kerana kita berdepan dengan kempen (boikot) dari negara-negara Kesatuan Eropah.

“Mereka sentiasa mengaitkan minyak sawit kita sejak dulu dengan mendakwa tinggi kolesterol.

“Apabila Malaysia tampil dengan bukti saintifik, isu itu berkurangan tapi mereka mulakan serangan dengan menghapuskan hutan tropika kita,” katanya dalam ceramah di Bukit Mahkota sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, kelmarin

Timbalan Presiden AMANAH berkenaan berkata, tidak banyak reformasi besar dapat dilakukan kerana sebahagian daripada perancangan pada masa ini memerlukan tempoh untuk berlakunya perubahan.

“Baru-baru ini saya melancarkan lima hala tuju baru kementerian melibatkan tanaman padi, industri ruminan, ikan dan produk buah-buahan kita.

“Ada antaranya kita selesaikan di pasaran antarabangsa termasuk China. Durian, nangka madu dan rock melon. Kita mempunyai varietri nanas yang sangat manis.

“China suka sangat dengan nanas kita ini. Di pinggir Beijing, saya diberitahu 200 biji nanas boleh dijual dalam tempoh sehari di sebuah pusat beli belah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, pendapatan golongan petani di negara ini dapat ditingkatkan jika buah-buahan tempatan dapat dieksport

“Itu perubahan yang dilakukan tetapi tidak dapat dibuktikan dalam tempoh setahun ini,” tambahnya lagi.